Dunia

Vietnam rekod kes pertama Omicron dalam komuniti

3 kes positif dikesan hujung minggu di Ho Chi Minh

HANOI, 16 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Vietnam merekodkan kes pertama varian Omicron dalam kalangan komuniti, ketika kerajaan menggesa orang ramai berwaspada terhadap ancaman varian itu.

Media kerajaan, Tien Phong melaporkan, tiga kes positif dikesan pada hujung minggu lalu di Bandaraya Ho Chi Minh dan disahkan sebagai Omicron pada lewat Selasa.

Sebelum ini, negara itu mengesan lebih 70 kes varian Omicron – yang dikatakan sangat mudah merebak – dalam kalangan individu kuarantin yang memasuki Vietnam dari luar negara.

“Masyarakat perlu meningkatkan rasa waspada mereka terhadap Omicron, tidak berkumpul di tempat sesak dan melengkapkan suntikan vaksinasi,” kata Kementerian Kesihatan negara itu, minggu lalu.

Secara keseluruhan, Vietnam telah merekodkan lebih dua juta kes jangkitan COVID-19 dengan hampir 36,000 kematian.

Lebih 74 peratus daripada 98 juta penduduk negara itu telah menerima sekurang-kurangnya dua suntikan vaksin, menurut kementerian.

Vietnam juga telah melancarkan kempen vaksinasi dos penggalak, dengan pihak berkuasa memberi jaminan untuk melengkapkan pemberian dos itu kepada individu dewasa pada akhir Mac ini.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button