Berita UtamaDunia

Hamas takkan berdiam tindakan biadab rejim ceroboh rumah di Sheikh Jarrah

Tindakan pengecut Zionis tak patahkan keazaman rakyat Palestin

BAITULMAQDIS, 17 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) mengutuk tindakan pengusiran paksa dan perobohan rumah keluarga Salhia di kejiranan Sheikh Jarrah oleh pihak berkuasa negara haram Israel awal pagi semalam.

Hamas turut menyifatkan penahanan rakyat Palestin dan penyokongnya adalah jenayah dan peningkatan berbahaya daripada perang kejam yang berterusan terhadap kota Baitulmaqdis dan penduduknya.

Jurucakap Hamas, Mohammed Hamada berkata, pihak berkuasa pendudukan sengaja menyusup awal pagi bagi mengelak pendirian berani keluarga Salhia yang mencabar keputusan perobohan itu.

“Kami menegaskan bahawa amalan jenayah pendudukan Zionis tidak akan sekali-kali mematahkan keazaman rakyat Palestin di Baitulmaqdis yang akan terus menghadapi pendudukan dengan segala bentuk penentangan.

“Kami menggesa rakyat Palestin di Baitulmaqdis untuk melindungi rumah yang diancam dengan perobohan dan teguh menghadapi jentera perang pendudukan Israel,” katanya dalam kenyataan.

Hamada berkata, amalan jenayah pendudukan memerlukan negara-negara Arab dan Islam, semua organisasi kemanusiaan, dan rakyat bebas di dunia untuk memegang tanggungjawab mereka.

Ia bagi menekan pendudukan untuk menghentikan jenayahnya terhadap Baitulmaqdis dan penduduknya, katanya.

Terdahulu, pihak berkuasa Israel merobohkan rumah sebuah keluarga Palestin dan menahan sekurang-kurangnya 18 orang ketika mereka melaksanakan perintah pemindahan paksa di kawasan Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button