Berita Utama

Kerajaan sudah salur lebih RM125 juta bagi bantuan BWI

259 mangsa banjir perlukan kemudahan bina baharu rumah kediaman

KUALA LUMPUR, 17 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Kerajaan sehingga kini telah menyalurkan lebih RM125 juta kepada negeri-negeri yang terbabit dengan banjir bagi menyelaras pemberian Bantuan Tunai Wang Ihsan (BWI) dan BWI untuk kematian kepada ketua isi rumah (KIR) yang terlibat.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sejak 27 Disember sehingga kini, 75,000 KIR telah menerima bayaran BWI sebanyak RM1,000 dengan penyaluran berjumlah RM75,000.

Selain itu, katanya, 45,000 isi rumah yang terkesan akibat banjir juga menerima manfaat pengecualian bayaran bil elektrik bagi bulan Disember 2021.

“Alhamdulillah, setakat data terkini yang diperolehi, bagi baucar diskaun pembelian peralatan elektrik bernilai RM500, ia telah memanfaatkan kira- kira 5,100 ketua isi rumah dengan nilai keseluruhan baucar di gunakan berjumlah hampir RM2.5 juta,” katanya pada Persidangan Khas Pengurusan Bantuan Banjir di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul menjelaskan, kerajaan telah mengenal pasti sebanyak 439 KIR yang layak untuk menerima sumbangan bantuan tunai Pembaikan Kecil Rumah sehingga RM5,000 ekoran bencana banjir Monsun Timur Laut pada Disember lepas.

Bagi KIR yang dikenal pasti mengalami kerosakan rumah dengan nilai melebihi 5,000 ringgit pula, kerajaan katanya akan melantik kontraktor dengan kadar sehingga RM15,000 untuk baik pulih rumah dan sehingga RM56,000 untuk bina baharu rumah kediaman.

“Bagi pembaikan rumah bernilai RM5,000 hingga RM15,000 pula, hampir 10,000 buah rumah telah dikenal pasti layak menerima kemudahan baik pulih rumah oleh kerajaan.

“Selanjutnya, 259 orang mangsa banjir pula setakat ini dikenal pasti memerlukan kemudahan bina baharu rumah kediaman mereka oleh kerajaan,” kata Menteri Kewangan.

Selain itu, beliau memberitahu sehingga kini, hampir 5,000 kenderaan telah dihantar ke pusat servis kereta yang berdaftar untuk program Bantuan Automotif Keluarga Malaysia di lebih 1,800 pusat servis dan bengkel yang menyertai inisiatif program tersebut.

Sementara itu, dana terkumpul menerusi Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan atau (GLC) melalui GLIC/GLC Disaster Response Network (GDRN) telah mencecah hampir RM140 juta.

“Setakat ini, GDRN telah membantu kira-kira 71,000 mangsa banjir.

“Antara bantuan yang disediakan termasuk pengagihan pek makanan panas, barangan keperluan asas, kit kebersihan, kerja-kerja pembersihan, wang tunai, perubatan dan banyak lagi,” jelas Tengku Zafrul. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button