Berita Utama

42.7 peratus individu dewasa terima dos penggalak

97.9 peratus daripada populasi dewasa lengkap terima vaksinasi

KUALA LUMPUR, 17 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Seramai 258,337 individu penduduk dewasa di negara ini telah menerima dos penggalak COVID-19 semalam, menjadikan jumlah kumulatif bagi pemberian dos penggalak meningkat kepada 10,002,472 atau 42.7 peratus.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman COVIDNOW, sebanyak 22,911,629 atau 97.9 peratus daripada populasi dewasa telah lengkap menerima vaksinasi, manakala 23,189,939 individu atau 99.1 peratus daripada kumpulan itu, menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin COVID-19.

Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, seramai 2,776,837 individu atau 88.2 peratus telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,862,423 individu atau 90.9 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Dalam pada itu, statistik harian menunjukkan sejumlah 264,635 dos vaksin telah diberikan semalam membabitkan 1,981 dos pertama dan 4,317 dos kedua, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 61,540,069 dos.

Sementara itu, menurut portal Github KKM, 13 kematian COVID-19 dilaporkan semalam dengan Kuala Lumpur, Sabah dan Pulau Pinang masing-masing merekodkan dua kes, dan masing-masing satu kes di Selangor, Perlis, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah, Johor dan Kelantan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button