Berita Utama

896 AEFI berkaitan dos penggalak diterima, 42 serius

Manakala baki mengalami kesan sampingan minimum

KUALA LUMPUR, 17 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Sebanyak 896 daripada 24,286 laporan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) berkaitan dos penggalak diterima setakat 15 Januari lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 896 AEFI itu, sebanyak 42 kes menerima kesan sampingan yang serius manakala baki mengalami kesan sampingan minimum.

“Kalau dilihat jumlah dilaporkan itu, 0.4 untuk setiap 1,000 dos diberikan, bagi dos penggalak adalah 0.1 untuk 1,000 dos diberikan manakala kesan sampingan teruk ialah 0.05 bagi 1,000 dos diberikan,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 9.2 juta dos penggalak telah diberikan kepada penerima hingga 15 Januari lepas.

Mengenai laporan miokarditis dalam kalangan kanak-kanak, beliau berkata hanya satu hingga tiga kes bagi setiap 100,000 kanak-kanak mendapat kesan miokarditis hasil vaksinasi, namun akan menjadi 36 kali ganda lebih tinggi untuk mendapat miokarditis sekiranya tidak divaksin.

Berhubung perkembangan terkini AEFI melibatkan banduan Penjara Kajang, Dr Noor Hisham berkata 13 daripada 18 laporan yang diterima telah selesai disiasat dan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Farmakovigilan Khas Vaksin COVID-19 (JFK) pada 12 Jan lepas.

“Lima laporan lagi termasuk yang melibatkan kematian masih dalam siasatan…sementara hasil penilaian JFK berdasarkan laporan siasatan diterima, 10 daripada kes tersebut (selesai disiasat) dikenal pasti bukan disebabkan vaksin yang diterima banduan.

“Bagi tiga laporan lagi, kesan advers hanya berkemungkinan berlaku disebabkan oleh vaksin yang diambil,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata setiap laporan AEFI melalui proses terperinci bagi membolehkan Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan siasatan termasuk bedah siasat dan pandangan klinikal sebelum mengesahkan sama ada kes disebabkan vaksin atau sebaliknya.

Ditanya mengenai kebimbangan masyarakat berhubung dos penggalak yang dikaitkan dengan beberapa berita kematian yang tular dalam media sosial, Khairy berkata KKM akan mengeluarkan semua data AEFI berkaitan dos penggalak.

Sambil menyatakan sebahagian besar berita yang tular tiada kaitan dengan vaksinasi, beliau berkata KKM akan menjalankan siasatan rapi terutamanya membabitkan kes kematian. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button