Berita Utama

ADUN Buntong dakwa Bersatu tak dapat tarik sokongan bukan Melayu

Tak peduli jika disamakan dengan ‘katak’ kerana melompat parti

IPOH, 17 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, A. Sivasubramaniam telah keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dengan mengatakan parti itu tidak dapat menarik sokongan ahli dan orang bukan Melayu.

Beliau berkata, Bersatu adalah parti yang baik, tetapi ia tidak berupaya melaksanakan (program) untuk penyertaan bukan Melayu.

“Saya tidak melihat keluar Bersatu sebagai satu isu kerana kita masih di bawah gabungan yang sama. Keutamaan saya adalah pengundi saya dan saya perlu menjaga kebajikan mereka,” katanya.

Namun, Sivasubramaniam berkata, ia juga hak prerogatifnya sama ada beliau memerlukan untuk memaklumkan parti keputusannya untuk berhenti.

ADUN selama tiga penggal itu menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) pada awal Januari lalu.

“PBM adalah peluang yang baik kerana ia berbilang kaum. Jika parti memutuskan untuk meletakkan saya di Buntong, saya tahu apa yang perlu saya lakukan setelah berkhidmat sebagai ADUN di sini selama 15 tahun,” katanya seperti dilapor The Star.

Sivasubramaniam dan ADUN Tronoh, Paul Yong diumumkan sebagai ahli PBM pada 9 Januari, dengan Sivasubramaniam dilantik sebagai Naib Presiden Kanan PBM II manakala Yong dilantik sebagai bendahari.

Kedua-duanya meninggalkan DAP berikutan kejatuhan kerajaan negeri dipimpin Pakatan Harapan pada 2020.

Sebelum menyertai Bersatu pada 2021, Sivasubramaniam juga telah menyertai Gerakan.

Sivasubramaniam berkata, beliau juga tidak peduli dengan orang yang menjenamakannya sebagai ‘katak’ kerana melompat dari satu parti ke parti yang lain.

“Orang ramai masih datang ke pejabat saya setiap hari. Mereka hanya mahukan seorang ADUN yang boleh berkhidmat kepada mereka dan saya sedang berbuat demikian,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button