Berita UtamaDunia

Empat negara Eropah gesa Israel henti bina perumahan haram di Baitulmaqdis Timur

Bimbang dengan pengusiran berterusan rakyat Palestin di Sheikh Jarrah

PARIS, 17 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Empat negara Eropah – Perancis, Jerman, Itali dan Sepanyol – menggesa Israel menghentikan pembinaan unit perumahan haram di Baitulmaqdis Timur.

Gesaan tersebut dibuat tatkala rejim pengganas itu meningkatkan rampasan tanah dan dasar pengusiran paksa di tanah Palestin yang diduduki, dengan melanggar undang-undang antarabangsa.

Kementerian Luar Perancis, Jerman, Itali dan Sepanyol dalam satu kenyataan, semalam menggesa pihak berkuasa Israel untuk menghentikan pembinaan unit perumahan baharu di Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

Awal bulan ini, pihak berkuasa Israel meluluskan rancangan untuk pembinaan sekitar 3,500 rumah di kawasan itu, hampir separuh daripadanya akan dibina di penempatan haram Givat Hamatos dan Har Homa.

Membidas rancangan itu, negara-negara Eropah berkata, beratus-ratus bangunan baru akan ‘menjadi halangan tambahan kepada penyelesaian dua negara’.

Mereka juga berkata bahawa bangunan di kawasan itu akan terus memutuskan sambungan Tebing Barat yang diduduki dari Baitulmaqdis Timur dan mengulangi bahawa penempatan itu melanggar undang-undang antarabangsa.

Keempat-empat negara itu juga melahirkan kebimbangan mengenai pengusiran dan perobohan berterusan rumah Palestin di kejiranan Baitulmaqdis Timur, Sheikh Jarrah.

Terdahulu pada hari Rabu, tentera Israel menyerbu rumah keluarga Salhiya di Sheikh Jarrah, menangkap dan menyerang ahli keluarga itu dengan ganas, sebelum mengosongkan rumah serta merobohkannya.

Kumpulan Palestin dan pertubuhan hak antarabangsa mengutuk perobohan itu, yang menyebabkan 18 orang kehilangan tempat tinggal termasuk kanak-kanak, dan menyifatkan ia sebagai ‘jenayah perang’ serta pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Israel menduduki Baitulmaqdis Timur semasa Perang Timur Tengah 1967 dan mengilhakkan seluruh bandar itu pada 1980, dalam satu langkah yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button