Berita Utama

Jawatankuasa mengenai integriti dan antirasuah akan dibentuk

Dibentuk hasil rundingan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara

KUALA LUMPUR, 17 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Sebuah jawatankuasa bersama mengenai integriti dan antirasuah akan dibentuk hasil rundingan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat jawatankuasa berkenaan yang bersidang hari ini.

“Yang Dipertua Dewan Negara telah berunding dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan suatu kenyataan bersama akan dikeluarkan tidak lama lagi dan penubuhan jawatankuasa bersama ini akan diusahakan dalam tempoh terdekat.

“Mengambil perhatian pada masa ini hanya Dewan Negara yang telah menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah,” kata Rais yang juga Yang Dipertua Dewan Negara dalam kenyataan di sini.

Jawatankuasa berkenaan juga menurut Rais turut memutuskan bahawa isu berkaitan dengan pengawasan antirasuah di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletak di bawah pengawasan Parlimen, akan dibincangkan dan diperhalusi bersama oleh kedua-dua Dewan menerusi pentadbiran Yang Dipertua masing-masing.

“Jawatankuasa tersebut hari ini memberi pandangan bahawa perihal di atas perlu disegerakan memandangkan isu-isu berkenaan dengan tadbir urus, integriti dan antirasuah kian meningkat dan kebanyakan suara menjurus kepada sokongan syor tersebut,” katanya.

Selain itu, turut diputuskan adalah mengenai usaha dan kempen antirasuah dalam negara selain perlu melibatkan ahli politik.

“Jawatankuasa berpendapat bahawa pihak yang memberi rasuah perlu disiasat dan diambil tindakan yang setimpal dan tidak hanya mereka yang menerima habuan sahaja yang diambil tindakan dan dituduh.

“Jawatankuasa mengambil maklum tentang imej negara yang dipudarkan lantaran kes-kes rasuah yang meningkat akhir-akhir ini. Langkah-langkah perlu wajib diambil bagi memperbaiki imej negatif ini,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button