Berita Utama

Kerajaan teliti wujud Nadma di peringkat negeri, daerah

Harap dapat beri penyelesaian menjelang akhir sidang khas

KUALA LUMPUR, 17 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Keperluan mewujudkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di peringkat negeri dan daerah sedang diteliti oleh pihak kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, perkara itu selaras dengan keputusan mesyuarat jemaah menteri pada 22 Disember lalu agar struktur Nadma diteliti semula.

Katanya, ia untuk menjamin aspek kecekapan pengurusan serta memperkukuhkan peranannya sebagai peneraju pengurusan bencana negara.

“Perkara ini sedang dalam tindakan Nadma bersama Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Antara perkara yang diteliti adalah mewujudkan Nadma di peringkat negeri dan daerah, justeru diharapkan menjelang akhir sidang khas ini, kita dapat beri satu penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Khas Parlimen ke-14 Penggal Keempat di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui masih terdapat kelemahan daripada segi pemahaman dalam kalangan agensi-agensi berkaitan di peringkat Pusat, negeri dan daerah.

Katanya, aspek kelemahan perintah dan kawalan juga merupakan cabaran yang perlu diberi perhatian segera berikutan ketiadaan Nadma di negeri serta daerah.

“Ketiadaan Nadma di negeri dan daerah menyukarkan koordinasi secara terus dengan agensi-agensi di lapangan,” katanya.

Beliau berkata, struktur organisasi sedia ada membataskan keupayaan Nadma untuk menyelaras tindakan pengurusan bencana yang melibatkan penduduk setempat, pertubuhan bukn kerajaan (NGO) dan kerajaan tempatan.

Kekangan itu, katanya, menyebabkan Nadma tidak dapat menguruskan bencana secara terus di peringkat negeri dan daerah.

“Selain itu, penyaluran maklumat dengan lebih pantas dan tepat kepada agensi-agensi tindak balas dan mangsa banjir perlu diperbaiki memandangkan masih menggunakan kaedah pengumpulan maklumat konvensional,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button