Berita Utama

Kluster Pendidikan: Tiada keperluan tutup sekolah berasrama

Sebahagian besar hanya libat gejala ringan atau tiada gejala

KUALA LUMPUR, 17 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Tiada keperluan untuk menutup sekolah berasrama di negara ini walaupun terdapat peningkatan kluster COVID-19 di sekolah itu kerana sebahagian besarnya hanya melibatkan gejala ringan ataupun tiada gejala.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata penutupan sekolah itu juga dilihat sebagai langkah ke belakang memandangkan peratusan vaksinasi remaja sudah mencapai 90 peratus.

“Jangkitan COVID-19 ini adalah perkara yang akan jadi dan kita tidak boleh lari daripada jangkitan. Selagi kesan gejala jangkitan itu tidaklah teruk, mereka boleh diasingkan di asrama atau di rumah,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

Terdahulu, beliau berkata sejumlah 52 kluster pendidikan termasuk 27 sekolah berasrama dikesan bagi tempoh Minggu Epid Satu tahun ini hingga semalam.

“Daripada 52 kluster ini, siasatan mendapati 44 kluster dengan kes indeksnya adalah pelajar manakala guru atau pensyarah bagi lima kluster dan staf sokongan pusat pendidikan bagi tiga kluster lagi,” katanya.

Khairy juga berkata perkumpulan ramai telah meningkatkan risiko penularan jangkitan menyebabkan jumlah kluster di sekolah pada minggu pertama persekolahan sebanyak 15 kluster.

Beliau berkata pada minggu kedua persekolahan, bilangan kluster pendidikan meningkat sekali ganda kepada 33 dengan semua negeri melaporkan kluster kecuali Perlis, Terengganu, Sarawak dan Labuan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button