Pendapat

Melayu hancur bila ramai kader politik dari kader pemimpin

Masa depan politik Melayu sudah terumbang-ambing dari dulu

KEDUDUKAN bangsa Melayu akan semakin lemah dan naif jika tidak dapat melahirkan kader-kader pemimpin. Setakat melahirkan kader-kader politik semasa tidak perlu menyediakan program yang berkesan jika dilihat dari perkembangan terkini politik negara kita.

Amalan politik sempit kepartian, bermuka-muka dan lobi-melobi sudah cukup untuk menjadi kader-kader politik. Inilah yang berlaku dalam politik Melayu negara kita. Ilmu kepimpinan, akhlak dan sahsiah, jujur dan amanah bukan menjadi keutamaan dalam sistem perkaderan politik walaupun ditubuhkan institusi perkaderan oleh parti-parti Melayu tetapi pemimpin mereka tidak lahir dari sistem perkaderan yang betul. Tinjauan menunjukkan bahawa kader-kader yang lahir adalah dari amalan politik di atas.

Bangsa Melayu akan semakin lemah jika sistem perkaderan politik yang menentukan kepimpinan negara. Kader-kader yang lahir dari perkaderan politik hanya mementingkan kepentingan parti-parti politik dan peribadi melebihi kepentingan bangsa, agama dan negara. Tak perlu bincang dengan mereka hal-hal yang berkaitan masa depan bangsa Melayu dalam ekonomi, politik, tanah rizab Melayu dan lain-lain kerana mereka tiada agenda untuk memajukan Melayu.

Mereka boleh bersatu dalam satu-satu kerja kerana peluang merebut harta dan pangkat secara bersama dan berpecah dalam kerja lain kerana berebut kawasan untuk berebut kerusi DUN atau Parlimen. Ini sahaja isu utama dalam kehidupan mereka yang digelarkan kader politik.

Perancangan dan pemikiran mereka hanya berlegar untuk memenangi PRU, jawatan dan kedudukan sahaja. Mereka bukan sahaja berebut dalam parti masing-masing untuk mendapatkan jawatan bahkan dalam semua perkara. Inilah yang berlaku sekarang ini. Sebab itu kita lihat amalan catah-mencatah, fitnah-memfitnah sudah menjadi kebiasaan dan wajib dilakukan untuk mengejar pangkat dan kedudukan.

Tidak salah jika kita katakan amalan ini masih diamalkan dalam politik Melayu dan semakin mengukuh. Masa depan politik Melayu sudah terumbang-ambing dari dulu lagi dan akan semakin parah. Bangsa Melayu perlu diberi kesedaran dari sekarang sebelum dihancurkan oleh agenda parti-parti politik yang merugikan mereka.

Ustaz Sharipudin Abdul Kadir
Ketua Perhubungan ISMA Kelantan

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button