Omicron: New Zealand perketat sekatan, tolak perintah berkurung
Perdana Menteri gesa orang ramai dapatkan dos penggalak

WELLINGTON, 17 Jamadilakhir 1443H, Khamis – New Zealand akan memperketatkan sekatan COVID-19 di seluruh negara jika terdapat penularan komuniti varian Omicron.
Bagaimanapun Perdana Menteri, Jacinda Ardern menolak pelaksanaan perintah berkurung susulan kawalan ketat dan kelebihan geografi New Zealand membantu negara itu kekal bebas daripada varian Omicron dalam komuniti, walaupun banyak kes kini telah dilaporkan di kemudahan kuarantin di sempadan.
Bercakap pada sidang akhbar, Arden berkata, ketetapan ‘lampu isyarat merah’ akan dikenakan dalam tempoh 24 hingga 48 jam selepas Omicron menular dalam komuniti.
Kira-kira 93 peratus penduduk New Zealand yang berumur 12 tahun ke atas menerima vaksin lengkap dan kira-kira 20 peratus sudah mendapat suntikan dos penggalak.
Ardern berkata, orang ramai mesti mendapatkan dos penggalak.
“Bukti antarabangsa menunjukkan bahawa dos penggalak memberikan perlindungan yang baik terhadap Omicron,” katanya.
Sempadan New Zealand ditutup kepada warga asing sejak Mac 2020 dan rancangan pembukaan semula berperingkat telah ditolak dari pertengahan Januari hingga akhir Februari susulan bimbang wabak Omicron, seperti yang dilihat di negara jiran Australia.
Mereka yang tiba perlu memohon tempat di kemudahan kuarantin yang diuruskan oleh kerajaan.
Kerajaan minggu ini berhenti mengeluarkan sebarang slot baharu di tengah lonjakan bilangan mereka yang tiba dijangkiti Omicron.
Ardern berkata, tiada perubahan kepada rancangan penetapan sempadan buat masa ini. – Agensi