Berita UtamaDunia

PBB desak Israel henti tindas penduduk Palestin

Tamatkan kempen antipengusiran di kejiranan Sheikh Jarrah

BAITULMAQDIS, 17 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Penyelaras khas PBB untuk proses perdamaian Timur Tengah, Tor Wennesland mendesak pihak berkuasa negara haram Israel menamatkan pemindahan penduduk Palestin di Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

Gesaan Wennesland pada taklimat Majlis Keselamatan PBB dibuat selepas tentera Israel merobohkan rumah Palestin awal pagi semalam yang menjadi pusat kempen antipengusiran di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah.

Wennesland menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan pengusiran lebih ramai keluarga Palestin dari rumah mereka di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah dan Silwan.

“Saya menggesa pihak berkuasa Israel untuk menamatkan pemindahan dan pengusiran rakyat Palestin.

“Ini selaras dengan kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa, dan meluluskan rancangan tambahan yang membolehkan masyarakat Palestin membina secara sah dan menangani keperluan pembangunan mereka,” katanya.

Polis Israel berkata, ia menguatkuasakan perintah pengusiran yang diluluskan mahkamah mengenai ‘bangunan haram yang dibina di atas kawasan yang ditetapkan untuk sebuah sekolah.’

Rumah itu menjadi pusat kempen antipengusiran sejak tahun 2017 apabila pihak berkuasa perbandaran Israel memperuntukkan tanah – di mana rumah itu terletak – untuk membina sekolah.

Keluarga Salhiyeh berkata, mereka telah tinggal di rumah itu sejak 1948 selepas mereka diusir dari kawasan kejiranan Ein Karen di Baitulmaqdis Barat. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button