Berita Utama

Rasuah di Malaysia ibarat COVID-19, sudah jadi pandemik

Dimaklumkan ada 32 fail libat pihak atasan ‘tak boleh’ dibuka: Aminuddin

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 17 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Isu rasuah di dalam negara ini sudah boleh diibaratkan seperti COVID-19, kerana ia sudah menjadi pandemik, kata Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya.

Beliau berkata, isu yang berlarutan sejak sekian lama ini sudah menjalar ke akar umbi, dari peringkat tertinggi ke pertengahan hingga ke bawahan. 

Apa yang dikesalkan sekarang, semakin hari amalan rasuah dianggap sebagai normal kepada pihak-pihak yang terlibat. 

Lebih membimbangkan, katanya, amalan tidak bertanggungjawab itu memberi impak buruk dan menyebabkan kerugian besar kepada negara.

“Jadi kalau kita tengok daripada aspek kerugian yang dialami oleh pihak kerajaan dan negara, jumlahnya terlalu besar. Kalau diambil dari segi nilai kewangan pada 2017 dilaporkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia kehilangan RM47 bilion. 

“Ini buka satu perkara yang kecil yang boleh kita pandang enteng. Ini sangat merugikan negara. Kerana kalaulah jumlah sebesar itu dapat kita guna untuk membiayai rakyat, orang miskin sudah pasti banyak yang kita boleh lakukan,” katanya dalam program Dimensi: Rasuah VVIP Dilindung? yang disiarkan TV Pertiwi, malam ini. 

Walhal, Aminuddin berkata, Malaysia bukan sebuah negara yang miskin, tetapi ekonomi rakyat masih belum di tahap memuaskan.

“Negara kita banyak pendapatan. Minyak, kelapa sawit, emas dan sebagainya yang boleh keluarkan hasil KDNK begitu tinggi dan boleh mengangkat darjat ekonomi rakyat ke tahap lebih sejahtera daripada apa yang dilihat hari ini. 

“Tapi disebabkan ketirisan dan rasuah, perkara ini tidak boleh dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, jumlah ketirisan yang begitu banyak tersebut, majoritinya berlaku di peringkat tertinggi termasuk melibatkan penjawat awam.

“Ia berlaku baik di peringkat parti mahupun penjawat awam. Kenapa saya katakan begitu. Daripada 2013-2018 sekitar lima tahun, hampir 500 kes yang melibatkan penjawat awam. Hampir 100 orang setiap satu tahun. Itu yang dijumpai, yang tak dijumpai? Saya rasa mungkin banyak lagi. 

“Yang menjadi kerisauan adalah hanyalah golongan tengah disabitkan kesalahan tetapi golongan atasan, yang pemimpin dilihat seolah kebal. Kalau nak senaraikan nama terlalu banyak,” katanya.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, atas sebab itu Indeks Persepsi Rasuah negara ini semakin menurun. 

Daripada 180 negara, Malaysia berada di tangga ke-57 pada 2020 berbanding 51 pada 2019. 

Tegasnya, isu ini menyebabkan kerugian kepada negara, bukan sahaja dari aspek KDNK, tetapi daripada segi pelabur luar negara, yang mahu datang melabur ke Malaysia. 

“Mereka cuak, kerana mereka rasa tidak ada ketelusan. Kos juga kadang kala lebih tinggi hingga menyebabkan keuntungan yang mereka dapat begitu minima. Manalah mereka mahu, mana logiknya mereka datang ke negara ini. Penglibatan peringkat tertinggi ini memang menjadi isu.  

“Yang curi ikan cepat saja dihukum. Yang ambil puluhan juta ratusan juta selalunya terlepas. 

“Saya alami sendiri bagaimana kita dimaklumkan ada 32 fail yang melibatkan pihak atasan tertentu tidak boleh, tidak mahu dibuka. Ini membimbangkan kita. Apabila hanya ikan bilis yang kena dan bukan jerung,” katanya.

PAUTAN DIMENSI:

https://fb.watch/aF5F9Kj-ZK/

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button