Berita Utama

Sidang khas Parlimen hanya berkaitan banjir, tidak bahas isu Azam Baki: Speaker

Tidak dimasukkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat

KUALA LUMPUR, 17 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Persidangan Khas Dewan Rakyat hari ini tidak membahaskan usul berkaitan pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berikutan ia tiada dalam Aturan Urusan Mesyuarat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, beliau menerima notis usul itu daripada Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) dan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) untuk dibahas pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini, tetapi agenda persidangan khas itu ditetapkan oleh Perdana Menteri.

Azhar berkata, beliau tidak menerima sebarang usul bagi membahaskan isu itu daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan oleh itu ia tidak dimasukkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM).

“Saya mengakui menerima usul itu (daripada Salahuddin dan Kor Ming) dua hari lepas dan saya telah menjawab sidang khas hari ini dipanggil Perdana Menteri di bawah kuasa mutlaknya berdasarkan Aturan 11(3) Peraturan Mesyuarat. Mengikut peraturan itu, agenda sidang khas Perdana Menteri adalah di bawah kuasa mutlaknya dan beliau yang menyusun aturan agenda itu.

“Oleh sebab itu, saya tiada kuasa untuk menerima usul-usul itu. Seperti yang Pulai (Salahuddin) kata, sudah tentu agenda ini ditetapkan Perdana Menteri, tetapi sehingga hari ini saya tidak menerima apa-apa notis oleh beliau mengenai usul itu jadi saya anggap usul itu tidak akan dimasukkan dalam AUM dan sidang perlu dijalankan mengikut AUM,” katanya pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum itu, kedua-dua Ahli Parlimen yang menghantar usul itu bangkit dan meminta agar usul itu dipertimbang untuk dibahaskan kerana ia turut menyentuh isu negara iaitu integriti SPRM dan penjawat awam.

Setelah Azhar memberikan syornya, Gobind Singh Deo (PH-Puchong) bangun dan meminta Ismail Sabri hadir untuk mendengar penerangan kementerian bagi isu banjir dan juga isu akaun dagangan Azam yang akan dibangkitkan pembangkang selepas selesai memberi penerangan berkenaan bencana banjir.

“Adakah Perdana Menteri akan hadir selepas penerangan beliau untuk dengar soalan kami? Soalan itu akan juga merujuk kepada Tan Sri Azam Baki. Ini perkara cukup penting, kami akan bahas perkara banjir dan bangkitkan isu SPRM. Boleh saya dapatkan pengesyoran daripada Perdana Menteri dan Tuan Speaker?” soalnya.

Sidang khas hari ini membincangkan perkara berkaitan kepentingan negara iaitu banjir, pascabanjir, penyelarasan bantuan kepada Keluarga Malaysia dan perancangan jangka panjang pengurusan bencana banjir. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button