Berita UtamaDunia

Maimunah Mohd Sharif dari Malaysia dilantik semula terajui PBB – Habitat

Berpengalaman lebih 30 tahun dalam perancangan bandar, penjanaan semula bandar

NEW YORK, 18 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Datuk Maimunah Mohd Sharif dari Malaysia dipilih semula oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia PBB (PBB-Habitat) untuk tempoh dua tahun, lapor Xinhua.

Tempoh perkhidmatan beliau untuk penggal empat tahun awalnya berakhir pada Rabu. Penggal dua tahun baharunya bermula pada 20 Jan 2022 dan berakhir pada 19 Jan 2024.

Perhimpunan Agung pada Khamis bertindak atas saranan Setiausaha Agung PBB António Guterres.

Pemilihan semula Maimunah diluluskan sebulat suara tanpa undian.

Sebelum menjadi ketua UN-Habitat, Maimunah merupakan Datuk Bandar Pulau Pinang di Malaysia. Beliau berpengalaman lebih 30 tahun dalam perancangan bandar, penjanaan semula bandar dan pembangunan yang diterajui komuniti.

Sejak menyertai PBB pada Januari 2018, Maimunah berjaya meletakkan semula UN-Habitat sebagai peneraju pemikiran dalam perbandaran lestari.

Beliau ialah pengerusi bersama Pasukan Petugas Setiausaha Agung mengenai Masa Depan Bandar dan pengerusi bersama Gabungan 2030 Kerajaan Tempatan serta memperjuangkan perspektif bandar dalam Forum Ekonomi Dunia, kata pejabat akhbar Setiausaha Agung PBB.

Maimunah, 60, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam kajian perancangan bandar dari Institut Sains dan Teknologi Universiti Wales dan Ijazah Sarjana dalam pengajian perancangan dari Universiti Sains Malaysia.

Beliau sudah berumahtangga dan mempunyai dua orang anak perempuan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button