Berita Utama

Amaran hujan berterusan di Sarawak ditamatkan

Keadaan cuaca di negeri itu dijangka bertambah baik: Met Malaysia

BANGI, 18 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Keadaan cuaca di beberapa daerah di negeri Sarawak dijangka bertambah baik, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) dalam kenyataan, hari ini.

Ini membabitkan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Kapit (Belaga), Miri (Beluru, Telang Usan, Miri dan Marudi) serta Limbang.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Met Malaysia berkata, amaran hujan berterusan yang dikeluarkan pada 4.20 petang semalam untuk kawasan-kawasan berkenaan ditamatkan.

“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi Jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi jabatan.

“Talian hotline Met Malaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya.

Terdahulu, Met Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Sarawak dan Sabah yang dijangka sehingga 6 petang ini.

Ia membabitkan Sarikei (Pakan dan Julau), Sibu, Kapit (Song dan Kapit), Bintulu (Tatau), Miri (Beluru, Telang Usan dan Marudi) serta Limbang di Sarawak.

Sementara di Sabah pula amaran itu dijangka menjejaskan Pantai Barat (Papar, Putatan, Panampaang, Kota Kinabalu dan Tuaran), Tawau (Lahad Datu) dan Sandakan (Tongod dan Kinabatangan).

Met Malaysia berkata, amaran itu dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Katanya, amaran ribut petir itu adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button