Dunia

Darurat kesihatan akibat COVID-19 masih kekal: WHO

Lebih 326 juta kes jangkitan, 5.5 juta kematian setakat ini

GENEVA, 18 Jamadilakhir 1443, Jumaat – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) buat masa ini tiada rancangan untuk menarik balik pengisytiharan darurat kesihatan akibat pandemik COVID-19.

Agensi itu memaklumkan bahawa keadaan berkenaan kekal sebagai darurat kesihatan awam kebimbangan antarabangsa (PHEIC).

Pengisytiharan darurat sedemikian adalah isyarat penggera tertinggi yang boleh diberikan oleh WHO.

Ia bertujuan untuk menyedarkan kerajaan kepada risiko kesihatan yang berpotensi berbahaya, selain mengenakan kewajiban pelaporan khas ke atas negara anggota.

WHO mengisytiharkan darurat ekoran wabak COVID-19 pada 30 Januari 2020. Pada masa itu, kira-kira 100 jangkitan dikesan di luar China di 21 negara.

Sehingga minggu ini, terdapat lebih 326 juta kes jangkitan yang dilaporkan di seluruh dunia dan lebih 5.5 juta kematian.

Tiada pengisytiharan rasmi daripada WHO sama ada darurat kesihatan itu adalah pandemik atau tidak.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pertama kali mengisytiharkan situasi COVID-19 sebagai pandemik pada Mac 2020.

Pengisytiharan darurat kesihatan awam dibuat atas cadangan panel pakar bebas. Jawatankuasa darurat ini kemudiannya bermesyuarat setiap tiga bulan untuk menilai semula keadaan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button