Berita UtamaDunia

Dua terkorban, 26 kritikal dalam letupan di Lahore

Siasatan awal letupan berpunca daripada alat kawalan yang diletak di sebuah motosikal

LAHORE, 18 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Sekurang-kurangnya dua terbunuh manakala 26 yang lain mengalami kecederaan serius dalam letupan di kawasan Anarkali, lewat petang semalam.

Kesemua mereka kini dirawat di hospital dan berada dalam keadaan kritikal.

Pesuruhjaya Lahore, Kapten Muhammad Usman berkata, siasatan awal menunjukkan alat kawalan masa diletakkan di sebuah motosikal yang menjadi punca letupan.

Keadaan tersebut menyebabkan dua orang terbunuh termasuk seorang kanak-kanak dan 26 yang lain parah, yang berlaku di daerah beli-belah Anarkali.

Sehingga kini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab, tetapi terdapat beberapa siri letupan dan serangan terhadap polis sejak Disember, apabila gencatan senjata antara kerajaan dan Taliban Pakistan luput.

Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP), sebuah pergerakan tempatan yang berkongsi akar umbi yang sama dengan Taliban Afghanistan sebelum ini telah mengaku bertanggungjawab bagi kebanyakan insiden terbabit.

Sementara itu, Perdana Menteri dalam kenyataan mengutuk keras kejadian letupan dan menzahirkan kesedihan dengan kehilangan dua nyawa dalam kejadian berkenaan.

Beliau dalam masa sama, meminta laporan lengkap berhubung insiden berkenaan daripada pihak berkuasa Punjab selain mengarahkan pihak berkuasa memberikan rawatan kepada mangsa-mangsa terlibat.

Presiden Pakistan, Dr Arif Alvi turut mengutuk tindakan berkenaan dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga yang terkesan dalam tragedi berkenaan.

Dalam masa sama, Ketua Menteri Punjab, Sardar Usman Buzdar memberi jaminan tindakan sewajar akan dikenakan dan mereka yang terlibat tidak akan terlepas sebaliknya bakal berdepan hukuman undang-undang. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button