Dunia

EU gesa Israel henti aktiviti perobohan di Baitulmaqdis Timur

Rancangan bina 1,450 unit penempatan canggah undang-undang antarabangsa

BAITULMAQDIS, 18 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Kesatuan Eropah (EU) menggesa pengganas Israel untuk menghentikan aktiviti perobohan di Baitulmaqdis Timur, dan menyifatkan pengusiran penduduk Palestin di wilayah itu sebagai bercanggah undang-undang antarabangsa.

EU mendesak Israel supaya tidak meneruskan rancangannya untuk membina 1,450 unit perumahan antara Har Homa dan Givat Hamatos, menurut jurucakap EU, Peter Stano dalam satu kenyataan.

“Perluasan penjajahan, perobohan dan pengusiran adalah haram di bawah undang-undang antarabangsa,” katanya.

Stano menyifatkan peningkatan aktiviti perobohan dan pengusiran di Tebing Barat sebagai ‘trend membimbangkan’, selain menegaskan kemungkinan perbuatan berterusan ke atas penduduk Palestin di wilayah itu boleh mencetuskan ketegangan.

“Pelan pembinaan Israel akan menjejaskan kemungkinan Baitulmaqdis berfungsi sebagai ibu negara pada masa akan datang, maka semua aktiviti penempatan perlu dihentikan,” katanya.

Pada Rabu, pihak berkuasa Israel merobohkan rumah keluarga Saliyeh selepas mengusir mereka secara paksa di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur.

Keluarga itu berkata, mereka telah tinggal di rumah berkenaan sejak 1948, selepas diusir dari kejiranan Ein Karen di Baitulmaqdis Barat.

Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur dilihat sebagai wilayah yang dijajah di bawah undang-undang antarabangsa, sekali gus menjadikan penempatan Yahudi di sana tidak sah. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button