Berita Utama

MATRADE rangka 286 program pembangunan pengeksport dan penggalakan eksport 2022

Akan pergiat program eBizMatch, platform pertemuan perniagaan secara dalam talian

KUALA LUMPUR, 18 Jamadilakhir 1443H, Jumaat  – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) merangka 286 program pembangunan pengeksport dan penggalakan eksport bagi 2022 dalam usahanya melonjakkan eksport negara.

Menurutnya, semua program itu adalah berdasarkan hala tuju strategik yang digariskan Pelan Tindakan Perdagangan Nasional (NTBp), dengan lebih menekankan pendigitalan dan kemampanan.

“MATRADE telah merangka program penggalakan eksport yang terdiri daripada Pameran Perdagangan, Misi Pecutan Eksport (EAM) dan Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) bersempena dengan acara perdagangan antarabangsa utama.

“MATRADE juga akan terus mempergiat program eBizMatch, platform pertemuan perniagaan secara dalam talian antara syarikat Malaysia dan pembeli asing dari seluruh dunia yang diatur lebih awal,” jelasnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Perbadanan itu menambah, sektor strategik, terutama elektrik dan elektronik; aeroangkasa; perubatan; minyak dan gas; bahan binaan; makanan dan minuman; produk dan perkhidmatan hijau; perkhidmatan lain, termasuk teknologi maklumat dan komunikasi; penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih; logistik dan perkhidmatan profesional akan dipromosikan.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, syarikat Malaysia yang ingin mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara perlu bersedia, dan digalakkan melibatkan diri dengan MATRADE untuk pelbagai program sokongan dan penggalakan yang boleh mereka manfaatkan.

Sementara itu, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) edisi ke-18 akan dianjurkan secara format hibrid pada September 2022, menarik peserta halal global untuk mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pameran perdagangan halal terbesar dunia.

MATRADE menyokong syarikat-syarikat Malaysia dengan menyediakan kemudahan dan bantuan untuk menjadi juara global melalui pelbagai program pembangunan pengeksport.

“Ini meliputi aktiviti bimbingan pengeksport yang penting, dalam bidang seperti akses pasaran, garis panduan perdagangan, pembiayaan dan penjenamaan, inisiatif pendigitalan dan kemampanan,” jelasnya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button