Berita Utama

MCA siap siaga hadapi PRN Johor

'Bila-bila sahaja wisel ditiupkan, kita akan siap'

KAMPAR, 18 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – MCA, selaku parti komponen Barisan Nasional (BN) akan menggerakkan jentera pilihan rayanya sebaik sahaja Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diumumkan, kata Presidennya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata pihaknya telah siap siaga memandangkan tempoh penggal Pilhan Raya Umum ke-14 (PRU14) sudah matang dan memasuki tahun keempat, selain kemungkinan pilihan raya negeri berkenaan diadakan.

“Setakat ini belum mendapat maklumat atau ada mesyuarat tentang PRN Johor. Kita dengar dari media sahaja. Bagi MCA, kita berdepan sama ada PRU15 atau PRN Johor, dan kita akan ikut SOP serta terus siap siaga.

“Ini kerana kita telah masuk tahun keempat PRU. Sama ada bulan depan ke tahun depan ke, kita sudah boleh agak, khasnya dalam tempoh 18 bulan akan datang. Bila-bila sahaja wisel ditiupkan, kita akan siap siaga dan pastikan orang kita sudah pun di bawah untuk memainkan peranan mendampingi rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata demikian selepas menghadiri majlis kutipan derma MCA untuk Hospital Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), di Kampus UTAR Kampar di sini hari ini.

Wee, Ahli Parlimen Ayer Hitam selama empat penggal sejak 2004 itu, mengulas desas-desus pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang dilaporkan media sebelum ini.

Terdahulu pada majlis tersebut, Wee berkata majlis pelancaran kutipan derma itu dilakukan untuk pembinaan Hospital UTAR, yang dianggarkan menelan belanja kira-kira RM300 juta yang akan berfungsi dan digunakan kepada masyarakat setempat, khasnya kepada warga Kampar.

“Hospital ini nanti bukan berasaskan keuntungan, tetapi lebih berbentuk kepada sebuah yayasan. Pendapatan diterima akan diberikan kepada universiti untuk tujuan pembangunan. Ia dijangka siap dalam masa tiga tahun selepas cukupnya dana,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button