Berita Utama

Papan tanda Jawi: ‘Semua buat tak kisah asal kerja siap’

Yang buat tempahan hingga pihak beri kelulusan tak tahu Jawi?

BANGI, 18 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Siapakah pihak yang wajar bertanggungjawab atas kesilapan tulisan Jawi pada papan tanda jalan di Jalan Dana Permai dan Jalan Damai kawasan Residensi Permai serta Residensi Damai di Bandar Teknologi Kajang?

Kesilapan itu mengundang kemarahan orang ramai yang menyifatkan seolah-olah pihak yang bertanggungjawab dengan pemasangan papan tanda itu tidak peka terhadap kesilapan yang terang-terangan ke atas penggunaan tulisan Jawi.

Ini kerana, walaupun secara terang-terangan tulisan Jawi di tiga papan tanda jalan di kawasan berkenaan terdapat kesilapan pada ejaan dan huruf Jawi yang tidak bersambung, ia tetap tidak diperbetulkan.

Lebih menghairankan, apabila papan tanda itu tetap mendapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran Kajang, memandangkan logo pihak berkuasa tempatan (PBT) jelas terpampang pada papan tanda jalan berkenaan.

Persoalan sama turut ditimbulkan bekas Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin yang kesal terhadap kesilapan seumpama itu boleh berlaku di Malaysia.

“Tak tahu atau tak kisah? Malaysiaku. Inilah realiti yang berlaku. Yang buat tempahan tak tahu Jawi.

“Yang buat kerja memenuhi permintaan juga tak tahu Jawi. Yang berikan kelulusan pun tak tahu Jawi (Majlis Perbandaran Kajang). Yang pi pacak juga tak tahu Jawi,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Justeru, beliau mempersoalkan apakah kesilapan itu berlaku disebabkan oleh pihak yang tidak tahu mengenai Jawi atau sengaja tidak kisah mengenai perkara itu asalkan kerja siap dan selesai.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button