Berita Utama

Pemimpin politik hari ini sudah hilang prinsip perjuangan

Lebih penting hal peribadi daripada bantu rakyat, negara

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 18 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Kebanyakan pemimpin politik hari ini lebih memberi keutamaan kepada agenda kepentingan peribadi dan tidak berperanan sebagai pemimpin di landasan yang sebenar.

Keadaan tersebut menyebabkan mereka tergelincir daripada perjuangan sebenar iaitu membela dan mengubah nasib rakyat, dakwa penganalisis politik, Prof Dr Jeniri Amir.

“Keadaan tersebut sekiranya tidak dihentikan segera mampu memberi musibah kepada negara sekali gus menjadikan kestabilan negara terumbang ambing.

“Tetapi apa yang berlaku hari ini adalah terdiri daripada kalangan pemimpin yang tidak bertindak di landasan yang sebenar.

“Terlalu sukar mencari pemimpin yang benar-benar mahu membela nasib rakyat, yang ada hanya mereka yang mencari kesempatan kepada dirinya sendiri,” dakwanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Tegas beliau, keadaan tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada rakyat yang terpaksa menanggung di sebalik kelemahan tersebut tetapi menyebabkan keadaan bertambah huru-hara.

Beliau berpandangan, pemimpin hari ini sudah jauh tersasar dan hilang prinsip perjuangan mereka.

Justeru, katanya, rakyat harus bangkit menolak pemimpin yang berkepentingan sebaliknya digantikan dengan mereka yang telus dan ikhlas dalam perjuangan.

Selain itu, beliau mencadangkan rakyat supaya menyelidik dan buat penelitian yang tepat sebelum melantik individu tertentu menjadi wakil rakyat.

“Carilah yang boleh membela nasib dan masa depan negara bukan sekadar yang tahu berkata-kata tetapi memiliki muslihat di sebaliknya,” katanya.

Semalam, Ketua Perhubungan Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kelantan, Ustaz Sharipudin Abdul Kadir berkata, masa depan politik Melayu sudah terumbang-ambing dan tidak mustahil akan semakin parah.

Keadaan itu memerlukan bangsa Melayu perlu diberi kesedaran dari sekarang sebelum dihancurkan oleh agenda parti-parti politik yang merugikan mereka.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button