Berita Utama

Memperbetulkan keraian cinta dalam masyarakat

Jauhi komplikasi sosial dengan tinggalkan budaya Barat

SABAN tahun, bulan Februari hadir bersama pelbagai bentuk acara manifestasi keraian cinta. Keinginan untuk meraikan kebersamaan merupakan fitrah dalam hubungan sesama manusia. Mengungkap sayang, dalam apa jua hubungan merupakan pengesahan yang didambakan setiap hubungan sosial.

Yang selalu kita ambil mudah adalah hakikat bahawa konsep berlebih-lebihan dalam meraikan kasih sayang adalah suatu budaya yang dicedok dari Barat. Tampak gah dari sudut lahiriah namun kosong pada jiwa, lumrah budaya cedokan Barat tidak pernah mengambil kira unsur Rabbani.

Selain hari kekasih (hari Valentine yang telah diMelayukan) yang telah banyak dibicarakan para ulama. Kita juga mewarisi dari Barat hari-hari lain seperti ‘Mother’s Day’ (Hari Ibu) dan ‘Father’s Day’ (Hari Bapa) juga konsep ‘birthday’.

Kita cedok juga dari Barat konsep: dating, date night, romantik, honeymoon, dan seumpamanya. Selain itu budaya jahilliyyah lain berkisar hubungan pra perkahwinan yang juga telah meresap dalam masyarakat pula seperti bertukar-tukar/memberi cincin, membaling bunga, dan mutakhir ini: bachelor/bachelorette party.

ELEMEN RABBANI DALAM KERAIAN CINTA CARA RASULULLAH

Apa salahnya meraikan kasih sayang? Bukankah agama Islam mengajak berkasih sayang?

Tidak salah. Malah benar, Rasulullah sangat menganjurkan berkasih sayang sesama ummat. Pelbagai cara diajar oleh sunnah untuk menzahirkan kasih sayang kepada anak-anak, ibu bapa, jiran tetangga, orang memerlukan, bukan Muslim malah terhadap binatang dan alam sejagat seluruhnya.

Namun demikian, sunnah nabi sarat dengan elemen Rabbani. Setiap hubungan terikat dengan prinsip-prinsip syariat yang mendekatkan sang pemberi kasih sayang dan penerimanya kepada Allah, Tuhan Maha Pencipta.

Contohnya dalam makna salam, yang bermaksud “Sejahtera ke atas kamu” dan dijawab “dan sejahtera juga buat kamu”. Tidak ada sebarang makhluk yang boleh memberikan kesejahteraan yang didambakan dalam apa jua bentuk, melainkan Allah. Itulah apa yang difahami kedua pihak dalam pertukaran ucapan tersebut.

Ucapan tersebut tidak berubah sama ada dalam keadaan marah, sayang, sesama mereka yang tidak dikenali, antara yang tua dan yang muda, yang kaya dengan yang miskin, raja dan rakyat. Kerana keesaan Allah adalah tetap kekuasaannya dalam apa jua keadaan.

BUDAYA HEDONIS DALAM KERAIAN CINTA WARISAN BARAT

Berbeza dengan keraian dari warisan Barat. Ia sarat elemen hedonis, iaitu untuk melempiaskan nafsu semata-mata. Paling tinggi pun ia mungkin mengajak menghargai kerja keras dan pengorbanan. Jika kita tidak berhati-hati kita terlupa bahawa Allah jua memberi dan membenarkan kudrat tersebut.

Dating’ misalnya pertama kali digunakan untuk menggambarkan hubungan lelaki dan wanita pada lewat tahun 1800an, seiring dengan perkembangan era pencerahan dan bersamanya, feminisme.

Ia membawa era di mana penyatuan di antara seorang lelaki dan perempuan daripada menjadi urusan dua keluarga dengan niat untuk menikahkan, berubah kepada dua pasangan yang melalui proses suaikenal.

Suaikenal malah boleh jadi sekadar untuk berseronok tanpa niat untuk bersatu. Lama-kelamaan ‘dating’ dikomersilkan dan diadun menjadi satu budaya yang sarat dengan nafsu berahi bersalut material yang tiada sempadan.

Kepentingan materialisme membuatkan perkahwinan bukan lagi agenda utama. Di Amerika sahaja, industri dating’ bernilai 2.5 biilion USD (marketresearch.com). Anak-anak muda diheret berkenalan berlama-lama dengan membayangkan bahawa proses suaikenal yang panjang adalah berkadar dengan keserasian dalam perkahwinan.

Statistik 2016 menyatakan terdapat 18 juta pasangan yang tinggal bersama tanpa ikatan perkahwinan yang sah (Pew Research Center), naik 30 peratus daripada jumlahnya pada 2007. Di Malaysia, 80 peratus jenayah rogol dilakukan oleh lelaki yang dikenali.

Separuh daripadanya merupakan kekasih. Inilah bahana adat dating (PDRM 2015-2017). Lebih menghairankan kadar perceraian tetap meningkat saban tahun.

Ternyata budaya suaikenal cara Barat tidak pun menambahbaik kebahagiaan dan kedayatahanan rumah tangga. Di Malaysia juga sama. Malah anak-anak kita pula ikut terpalit. Semakin muda umur mereka yang terjebak dengan zina.

Data Bancian Kesihatan & Morbiditi Remaja 2022 menunjukkan 33 peratus remaja kita telah melakukan seks lebih awal dari umur14 tahun (umur baligh). Dan 11 peratus mempunyai lebih dari 1 pasangan!

ISLAM MEMELIHARA KEMULIAAN WANITA

Allah berfirman di dalam Surah al-Isra’: Ayat 32

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.

Penyelesaian bagi dua pihak yang saling mencintai hanyalah nikah. Antara tujuan utama perkahwinan adalah untuk menjaga pandangan dan memelihara kehormatan diri. Baik lelaki atau pun wanita. Sebarang proses yang melengahkan antara keduanya boleh menyumbang kepada zina.

Mengenai urusan selain dari perkahwinan, seperti atas tujuan kerja, belajar dan sebagainya, sebarang percampuran tanpa menjaga batas-batas adab, adalah dilarang sama sekali dalam Islam.

Islam melindungi kemuliaan lelaki dan wanita daripada dosa dengan hukum-hukum aurat dan larangan ikhtilat (percampuran antara lelaki dan perempuan).

Antaranya termasuk sentiasa di tempat terbuka, membawa pengiring, hanya dalam urusan yang benar-benar penting dan lain-lain.

Asasnya adalah untuk menjaga diri dari fitnah dari luar dan ajakan dari syaitan dari dalam diri. Biarlah dianggap jumud dan ketinggalan dari menyesal di kemudian hari.

Sebagai kesimpulan, marilah kita menjadi ummat baginda yang sebenar-benarnya. Mengadaptasi budaya Barat kepada nilai sendiri perlu suatu proses muhasabah.

Kadangkala tidak cukup dengan sekadar “membuang yang keruh dan mengambil yang jernih” tanpa kita memahami dimanakah titik pemisah antara yang jernih dan yang keruh.

Malah mungkin lebih mudah untuk meninggalkan sahaja budaya tersebut secara total dan melihat semula bagaimana baginda Rasulullah memandu para sahabat dan sahabiah dalam urusan muamalat mereka. Itulah panduan kita yang sebenarnya.

Di akhir zaman di mana kemuliaan diri bukan lagi suatu komoditi yang dicari-cari, marilah kita berada di kalangan mereka yang sedikit.

Semoga dengan meninggalkan budaya Barat kita menjauhkan diri dari komplikasi-komplikasi sosial yang kini merosakkan masyarakat Barat. Dan dengan mujahadah ini semoga Allah melimpahi segala rahmatnya kepada semua perhubungan kita.

Dr Siti Nurhayati Adznan

Penerangan Wanita ISMA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button