Berita Utama

Penjualan tiket VTL Malaysia-Singapura dibuka semula hari ini

Kuota dikurangkan 50 peratus daripada kapasiti bas, penerbangan

BANGI, 18 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Penjualan tiket bas dan penerbangan bagi kedua-dua inisiatif ‘Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Malaysia-Singapura dibuka semula berkuat kuasa serta merta hari ini.

Bagaimanapun, buat masa ini kuota tiket yang dijual bermula hari ini akan dikurangkan daripada kuota sedia ada iaitu pengurangan 50 peratus daripada kapasiti bas dan penerbangan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, bagi penumpang yang telah membeli tiket bagi tarikh perjalanan selepas 20 Januari 2022 sebelum pengumuman penggantungan tiket dibuat, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan menggunakan inisiatif ini mengikut kuota yang telah ditetapkan.

“Pada 22 Disember 2021, Kementerian Kesihatan (KKM) telah memaklumkan mengenai penggantungan sementara penjualan tiket bas dan penerbangan untuk VTL Malaysia-Singapura yang berkuat kuasa sepanjang tempoh 23 Disember 2021 sehingga 20 Januari 2022.

“Garis masa berhubung peningkatan kuota jualan tiket ini akan bergantung kepada penilaian risiko yang akan dilakukan dari semasa ke semasa secara berterusan oleh KKM berdasarkan situasi COVID-19 semasa di kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, selaras pengumuman KKM sebelum ini berhubung pengukuhan langkah-langkah pencegahan dan kawalan sedia ada bagi pengembara dari luar negara termasuk melalui inisiatif VTL, adalah diingatkan untuk melaksanakan ujian RTK-Ag atau ujian pantas antigen (kendiri) pada hari ke-2, ke-4 dan ke-6 selepas ketibaan.

Beliau berkata, ujian RTK-Ag atau ujian pantas antigen (professional) perlu dibuat pada hari ke-3 dan hari ke-5 selepas ketibaan.

“KKM ingin menyarankan semua pengembara supaya bertanggungjawab dan sentiasa mematuhi arahan serta SOP yang telah ditetapkan. 

“Lakukan ujian pengesanan COVID-19 mengikut ketetapan yang digariskan bagi mengetahui status risiko diri sendiri dan seterusnya mampu mengurangkan risiko jangkitan kepada individu lain.

“Ia juga bagi memastikan perjalanan rentas sempadan melibatkan skim VTL Malaysia-Singapura ini dapat terus dilaksanakan dengan selamat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button