Berita Utama

#TangkapAzamBaki: Enam jalan utama di ibu negara ditutup esok

Polis tak teragak ambil tindakan terhadap pihak berdegil adakan perhimpunan

KUALA LUMPUR, 18 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Sebanyak enam jalan utama di ibu negara bakal ditutup susulan perhimpunan #TangkapAzamBaki yang dijadualkan berlangsung, esok.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Delhan Yahaya berkata, jalan tersebut adalah Jalan Kuching, Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Hang Tuah, Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail.

“Kesemua jalan ini merupakan enam jalan utama di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi yang akan dilencongkan kerana terlibat dalam pelaksanaan tugasan itu,” katanya.

Beliau memaklumkan, lencongan itu akan bermula pada jam 7 pagi esok sehingga selesai tugasan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP)

Selain enam jalan utama tersebut, perkhidmatan awam berupa kereta api transit aliran ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Monorel dan Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter yang melalui kawasan ibu negara juga akan diberhentikan sementara waktu sepanjang perhimpunan berkenaan berlangsung.

“Justeru, saya nasihatkan orang ramai yang mempunyai urusan terutamanya di sekitar ibu negara esok agar merancang perjalanan dengan sebaik-baiknya bagi mengelak terkandas,” katanya.

Noor Delhan bagaimanapun berkata, perhimpunan yang dirancang itu melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara yang tidak membenarkan perarakan atau perhimpunan besar-besaran.

Katanya, Polis Dang Wangi telah mendapat perintah mahkamah berkuat kuasa selama tujuh hari mulai esok bagi menghalang sebarang perhimpunan di Sogo, Dataran Merdeka dan Masjid Jamek.

“Polis tidak akan berkompromi atau teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati masih berdegil dan menganjurkan atau menyertai mana-mana perhimpunan,” katanya seperti dilapor portal tempatan.

Setakat ini polis telah merekodkan kenyataan 16 individu, termasuk lima ahli politik, berhubung siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Namun, pihaknya tidak mengenal pasti penganjur perhimpunan kerana tiada notis rasmi dikemukakan seperti yang dikehendaki di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki melalui satu kenyataan merancang untuk mengadakan perhimpunan #tangkapAzamBaki di hadapan sebuah pusat beli-belah di ibu negara, pada jam 11 pagi esok.

Perhimpunan itu sebagai platform untuk mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ditahan serta-merta oleh pihak berkuasa termasuk mendesak proses undang-undang ke atas beliau bermula segera.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button