Dunia

Dos penggalak kunci perangi varian Omicron: Kajian AS

Perlindungan dari masuk hospital cecah hingga 90 peratus

WASHINGTON, 19 Jamadilakhir 1443H, Sabtu – Tiga kajian Amerika Syarikat (AS) menunjukkan dos ketiga vaksin mRNA adalah kunci untuk memerangi varian Omicron yang didakwa merebak lebih pantas dari varian Delta. 

Bahkan, virus itu kini dilaporkan menyumbang 99 peratus daripada semua kes baharu COVID-19.

Justeru, kajian yang diketuai Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) adalah yang pertama di AS untuk melihat kesan dos penggalak ke atas varian Omicron.

Dos ketiga ini difahamkan memberi 90 peratus perlindungan terhadap kadar kemasukan ke hospital akibat COVID-19.

Secara keseluruhan, mereka mencadangkan bahawa dos penggalak membantu melindungi kedua-dua jangkitan dan penyakit simptomatik.

Katanya, individu dewasa berumur 50 tahun ke atas mendapat manfaat paling banyak daripada dos tambahan vaksin yang dibuat oleh BioNTech melalui Pfizer atau Moderna.

“Perlindungan terhadap jangkitan dan kemasukan ke hospital akibat Omicron adalah tertinggi bagi mereka yang mengikut perkembangan semasa vaksinasi, bermakna mereka perlukan penggalak apabila mereka layak,” kata Pengarah CDC, Dr Rochelle Walensky.

Seperti dibuktikan di negara lain, dos penggalak berprestasi baik terhadap varian Delta berbanding Omicron.

Kajian dalam Laporan Mingguan Morbiditi dan Kematian CDC mendapati bahawa perlindungan daripada dua dos vaksin menurun kepada 57 peratus bagi individu yang mendapat suntikan kedua sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal.

Sementara bagi individu yang mendapat dos penggalak, perlindungan kemasukan ke hospital dan rawatan segera mencapai 90 peratus.

Dalam kajian lain yang diterbitkan dalam jurnal perubatan JAMA, penyelidik menyemak data mengenai 23,391 kes COVID-19 yang disebabkan sama ada varian Delta atau Omicron dalam kalangan mereka yang menjalani ujian antara 10 Disember 2021 dan 1 Januari 2022.

Kajian mendapati, dalam kalangan individu mempunyai simptom seperti COVID-19, mereka yang telah menerima tiga dos vaksin mRNA mempunyai perlindungan tertinggi daripada jangkitan berbanding hanya lengkap dua dos atau tidak divaksin.

Data dari United Kingdom (UK) juga telah menunjukkan bahawa peningkatan perlindungan antibodi yang diperoleh daripada dos penggalak berkurangan selepas 10 bulan, maka tidak jelas selama mana keberkesanan vaksinasi ketiga itu.

Sesetengah negara telah mula menawarkan dos penggalak tambahan, tetapi kajian terbaru Israel menunjukkan bahawa dos keempat vaksin mRNA meningkatkan antibodi, namun masih belum cukup untuk mencegah jangkitan varian Omicron.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button