Dunia

PBB digesa campur tangan bebaskan pesakit kanser Palestin dari penjara Israel

Walid Dagga hilang keupayaan berjalan kerana kanser tulang belakang

RAMALLAH, 3 Zulkaedah 1444H, Selasa – Pihak Berkuasa Palestin (PA) pada Isnin menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) campur tangan bagi membebaskan seorang tahanan Palestin di penjara Israel yang menghidap penyakit kanser.

Bercakap pada mesyuarat Kabinet di Ramallah, Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh menggesa PBB dan Palang Merah bertindak bagi menyelamatkan nyawa Walid Dagga, yang telah berada di penjara Israel selama 37 tahun.

Kementerian Luar Palestin bagi pihak Shtayyeh berkata, langkah itu membabitkan hubungan politik dan diplomatik untuk memastikan pembebasannya.

“Kami sedang berhubung dengan semua agensi PBB dan antarabangsa yang berkaitan, khususnya Palang Merah, untuk mendedahkan jenayah yang dilakukan oleh Israel terhadap Walid,” katanya dalam satu kenyataan.

Menegaskan bahawa kesihatan Walid semakin merosot, kementerian menuduh Israel cuai dalam perbuatan sebagai sebahagian daripada dasar penindasannya terhadap tahanan Palestin.

Walid telah dipindahkan ke Hospital Assaf Harofeh, tenggara Tel Aviv, selepas kesihatannya merosot, menurut Persatuan Tahanan Palestin.

Banduan berusia 60 tahun itu disahkan menghidap kanser tulang belakang pada Disember lalu.

Menurut NGO itu, Walid telah kehilangan sebahagian keupayaannya untuk berjalan.

Dia ditangkap pada 1986 atas tuduhan menganggotai Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin (PFLP) dan terlibat dalam penculikan serta pembunuhan seorang askar Israel.

Menurut anggaran, terdapat kira-kira 700 rakyat Palestin yang sakit berada di penjara Israel, termasuk 24 daripadanya menghidap kanser. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button