Berita Utama

Hisap rokok permulaan golongan muda terbabit kancah dadah

Perkasa institusi keluarga, agama elak salah guna dadah berleluasa

BANGI, 19 Jamadilakhir 1443H, Sabtu – Masalah penyalahgunaan dadah di negara ini perlu ditangani oleh semua pihak dengan memperkasakan institusi kekeluargaan dan agama.

Bahkan, pihak kerajaan serta masyarakat perlu berganding bahu dalam usaha membasmi kegiatan penyeludupan dadah, bagi memastikan negara berada dalam keadaan selamat, aman dan sejahtera daripada dihancurkan oleh ancaman dadah pada masa akan datang.

Sementara, di peringkat institusi pendidikan, penerapan budaya ‘benci kepada dadah’ perlu disemai dengan mendidik generasi muda akan bahayanya dadah kepada negara melalui pengenalan mata pelajaran pencegahan dadah di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.

Ini kerana, ketika ini, terdapat kes kanak-kanak seawal 8 tahun mula menunjukkan tanda awal terjebak ke kancah penagihan dadah apabila terbabit dengan aktiviti menghisap rokok dan menghidu gam akibat sifat ingin tahu dan faktor pengaruh rakan sebaya.

Pensyarah Jabatan Pengajian Strategi, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Amer Fawwaz Mohamad Yasid berkata, aktiviti menghisap rokok menjadi permulaan kepada golongan muda untuk terbabit dalam kancah penyalahgunaan dadah.

“Penggunaan dadah dalam kalangan belia dan remaja bukanlah asing. Sejak 1980, sudah terdapat kes penyalahgunaan dadah oleh pelajar universiti awam (UA) yang menggunakan dadah sebagai alat penenang perasaan dalam menghadapi kehidupan sibuk di kampus.

“Dadah juga digunakan sebagai bahan mengelakkan kepenatan dan mengantuk ketika menjalani kuliah serta persediaan menghadapi peperiksaan akhir semester, sekali gus menyebabkan berlaku peningkatan jumlah penagih dadah membabitkan pelajar universiti di seluruh negara,” katanya menulis di Berita Harian.

Beliau tidak menafikan bahawa peningkatan jenayah dalam negara membabitkan kegiatan mencuri dan merompak berlaku seiring dengan faktor pertambahan bilangan penagih dadah di negara ini.

Menurutnya, penagih dadah dalam aktiviti jenayah seperti merompak dan mencuri tidak dapat dipisahkan sebagai cara mendapatkan wang untuk membeli dadah bagi mengurangkan kesan ketagihan dadah dialami mereka.

“Penagih dadah mempunyai kecenderungan tinggi untuk terbabit dalam aktiviti jenayah mencuri dan merompak sebagai jalan pintas untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah.

“Disebabkan kawalan emosi lemah ketika berada di bawah pengaruh dadah, ia juga menyebabkan berlakunya pergaduhan hingga terjadinya pembunuhan. Kesan ini secara tidak langsung menimbulkan perasaan rasa tidak selamat dalam negara terutama komuniti masyarakat kerana berlakunya jenayah seumpama ini,” katanya.

Terdahulu dilaporkan, seorang wanita maut selepas anaknya bertindak kejam dengan memenggal kepala ibunya dalam kejadian di Kampung Baru Pasir Penambang di Kuala Selangor pada Sabtu lepas.

Suspek yang berusia 28 tahun itu didapati terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah sejak empat tahun lalu.

Rujukan;
https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/01/914343/perkasa-agama-institusi-keluarga-tangani-isu-salah-guna-dadah\

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button