Berita UtamaDunia

Pakatan diketuai Arab Saudi nafi bom penjara Yaman

Houthi anggap serangan jenayah perang terhadap kemanusiaan

SANAA, 19 Jamadilakhir 1443H, Sabtu – Pakatan yang diketuai Arab Saudi menafikan dakwaan pihaknya mengebom sebuah penjara di bandar Saada di utara Yaman.

Seorang pegawai dari kumpulan pemberontak Houthi Yaman dan badan amal perubatan Doctors Without Borders (Medecins Sans Frontieres atau MSF) berkata, puluhan orang terbunuh dalam pengeboman di pusat tahanan sementara di bandar utara.

Houthi – yang mengawal utara negara itu – mengeluarkan rakaman yang menunjukkan pekerja penyelamat mengeluarkan mayat dari runtuhan dan Menteri Kesihatan, Taha al-Motawakel memberitahu agensi berita The Associated Press bahawa 70 tahanan terbunuh.

Al-Motawakel mendakwa, gabungan pimpinan Arab Saudi sengaja menyasarkan orang awam.

“Kami menganggap ini jenayah perang terhadap kemanusiaan. Dunia harus bertanggungjawab pada saat genting dalam sejarah manusia ini,” katanya.

Jurucakap MSF memberitahu agensi berita AFP, jumlah kematian sekurang-kurangnya 70 orang dan 138 yang lain cedera.

Bagaimanapun, gabungan pimpinan Arab Saudi menafikan ia melakukan serangan itu.

“Pakatan itu akan memaklumkan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) di Yaman dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) mengenai fakta dan butiran,” kata agensi berita rasmi SPA pada Sabtu, memetik jurucakap pakatan.

Beliau berkata, sasaran di Saada bukan dalam senarai tanpa sasaran yang dipersetujui dengan OCHA, tidak dilaporkan oleh ICRC dan tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh Konvensyen Geneva Ketiga (Konvensyen Geneva Berkaitan dengan Layanan Terhadap Tawanan Perang).

Dakwanya, gabungan itu akan berkongsi dengan kedua-dua agensi ‘fakta dan butiran, serta maklumat salah media’ oleh Houthi mengenai kemudahan itu.

Sementara itu, lapan agensi bantuan yang beroperasi di Yaman dalam satu kenyataan bersama berkata, mereka ‘terkejut dengan berita bahawa lebih daripada 70 orang, termasuk pendatang, wanita dan kanak-kanak, telah terbunuh… secara terang-terangan tidak menghiraukan nyawa orang awam’.

Mereka berkata, penjara di Saada digunakan sebagai pusat tahanan untuk pendatang – yang terdiri daripada banyak mangsa. – Agensi

Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2022/01/22/70-maut-138-cedera-serangan-udara-di-penjara-yaman/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button