Berita UtamaIstimewa

PRN jadi trend di Malaysia?

Negara amalkan federalisme tak benarkan pilihan raya Persekutuan, negeri serentak

BANGI, 19 Jamadilakhir 1443H, Sabtu – Pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) – yang berkuat kuasa hari ini – memungkinkan tidak semua kerajaan negeri akan membubarkan DUN mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar tidak menolak kemungkinan itu selepas melihat pembubaran DUN Sabah, Sarawak, Melaka dan terbaharu Johor.

Namun yang pasti katanya, amalan di beberapa negara lain yang mengamalkan federalisme tidak membenarkan pilihan raya serentak antara Persekutuan dan negeri.

“Ianya bertujuan antara lain bagi membolehkan pengundi menilai perkhidmatan parti yang menang dan tidak terikat dengan satu faktor sahaja di samping memberi peluang yang lebih banyak untuk pengundi mempertimbangkannya.

“Persoalannya adakah trend ini akan menjadi amalan di Malaysia?,” soalnya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Sebelum ini, timbul desas desus PRN Johor akan diadakan dalam masa terdekat.

Ia terjawab selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN berkuatkuasa pada Sabtu bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.

Untuk rekod, terdapat 56 kerusi di DUN Johor dengan agihan terkininya adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, Bersatu (11), MIC (dua), PAS (satu) sementara PAN (enam) dan PKR pula (tujuh).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian ahli dewan undangan negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga mantan Menteri Besar, pada 21 Disember lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button