Berita Utama

‘Jangan sebar berita tidak rasmi berhubung kesihatan Tun M’

Hormati situasi keluarga Dr Mahathir saat ini

KUALA LUMPUR, 20 Jamadilakhir 1443H, Ahad – Orang ramai diminta tidak menyebarkan sebarang berita mengenai keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, melainkan ia berdasarkan sumber keluarga atau hospital secara rasmi, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau sebaliknya meminta orang ramai mendoakan agar Allah SWT mempermudahkan segala urusan rawatan Dr Mahathir di Institut Jantung Negara (IJN) ketika ini agar negarawan itu segera sembuh.

“Hormati situasi keluarga Tun Dr Mahathir saat ini,” katanya dalam ciapan di laman Twitter hari ini.

Sejak semalam, pengamal media mula berkumpul di perkarangan IJN bagi mendapatkan perkembangan terkini status kesihatan Dr Mahathir.

Bagaimanapun anak Ahli Parlimen Langkawi itu Datin Paduka Marina memaklumkan keadaan bapanya kini stabil dan memberi respons yang baik kepada rawatan lanjutan prosedur elektif yang dijalankan 8 Januari lepas.

Dr Mahathir sebelum ini dibenarkan keluar dari IJN pada 13 Januari selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu pada 7 Januari dan beliau menjalani prosedur perubatan elektif yang dikendalikan sepasukan doktor dari institut berkenaan dan Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 8 Januari. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button