Pendapat

Kontrak konsesi berat sebelah punca rakyat tanggung tol tinggi?

Kurang dominasi kerajaan dalam perundingan turut jadi faktor penyebab

SUDAH tentulah tidak. Ketika kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir membuat keputusan untuk memberikan konsesi tol kepada PLUS pada tahun 1988, ia adalah keputusan bebas tanpa pengaruh Yahudi ataupun negara haram Israel.

2. Kerajaan Malaysia boleh memilih untuk mengeluarkan modal sendiri (kutipan cukai, pinjaman luar negara, bon, sukuk dan lain-lain) untuk membina lebuh raya PLUS, namun ia sudah pasti akan meningkatkan beban kewangan dan hutang negara secara drastik.

3. Malah perancangan asal Tun Hussein Onn pada tahun 1977 memang untuk membina lebuh raya PLUS dengan dana negara supaya rakyat boleh menikmatinya secara percuma.

4. Namun, ancaman Komunis di Perak merencatkan perancangan tersebut. Walaupun kemudiannya projek ini telah berjaya disempurnakan 40 peratus, strategi pendanaan bertukar pada zaman Tun M apabila beliau menjual kepentingan kerajaan dan LLM dalam PLUS kepada UEM yang kemudiannya diberikan konsesi.

5. Saya tidak mahu menyentuh isu kronisme Tun M dan TS Halim Saad (pemilik UEM) yang dikaitkan dengan polemik ini. Tapi kita harus ingat jika Tun M meneruskan dasar dan strategi Tun Hussein Onn, kita mungkin akan menikmati lebuh raya tanpa tol sehingga ke hari ini.

6. Pilihan kedua kerajaan ialah membuat keputusan untuk tidak membina lebuh raya PLUS tapi kepesatan ekonomi negara akan terus berada di takuk lama. Melihat ke belakang dan analisa data menunjukkan pulangan ekonomi yang telah dinikmati hasil pembinaan lebuh raya sejak 40 tahun dulu mencecah puluhan billion AS$.

7. Pada pandangan saya penswastaan PLUS, kontrak konsesi yang berat sebelah serta kurangnya dominasi kerajaan dalam perundingan menyebabkan rakyat terpaksa menanggung kos pembayaran tol yang tinggi sehingga hari ini.

8. Kini, mana-mana kerajaan di bawah kepimpinan perdana menteri baharu yang ingin menghapuskan tol memerlukan dana RM400 billion seperti yang pernah dinyatakan oleh bekas Menteri Kerja Raya dalam Dewan Rakyat beberapa tahun lepas (jumlah ini termasuk pampasan kerugian dan keuntungan masa depan pemegang konsesi).

9. Jumlah ini adalah lebih kurang satu pertiga daripada KDNK Malaysia! Kerana itulah apabila Tun M menjadi PM buat kali kedua, beliau sendiri tidak mampu melaksanakan manifesto PH untuk menghapuskan tol secara total.

10. Kalau pencipta masalah ini tidak mampu membersihkan kekotoran yang dibuat oleh tangannya sendiri, siapalah kita untuk menghapuskan tol di Malaysia!

Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim 
Setiausaha Agung BERJASA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button