Berita Utama

PRN Johor: ‘Persengketaan’ boleh jadi halangan parti besar terus dominan

PRN kali ini bawa cabaran baharu dengan kehadiran MUDA

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 20 Jamadilakhir 1443H, Ahad – Tidak dapat dinafikan, kelebihan majoriti tipis di blok kerajaan negeri sebelum ini mampu memberikan impak kepada kestabilan politik Johor.

Untuk rekod, terdapat 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan agihan terkininya adalah UMNO dan DAP masing-masing 14 kerusi, Bersatu (11), MIC (dua), PAS (satu), manakala PAN (enam) dan PKR (tujuh).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian pada 21 Disember lalu.

Susulan tidak mahu kerajaan negeri terus bergerak atas ihsan pembangkang, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bagi memohon perkenan membubarkan DUN.

Semalam, Sultan Ibrahim berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN untuk memberi laluan kepada PRN.

Perkara itu menyaksikan Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 bahawa Dewan Negeri Johor Darul Ta’zim termansuh telah pada 22 Januari 2022.

Mengulas perkara itu, penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff berpendapat, Barisan Nasional (BN) boleh menerajui PRN Johor asalkan parti itu benar-benar menghayati falsafah perjuangan politik dan mengetepikan persengketaan sesama parti.

Baginya, perkara yang paling mustahak adalah parti itu dapat menterjemahkan manifesto PRN nanti dengan menumpukan kepada kebajikan rakyat Johor.

“Saya percaya BN boleh merampas kembali kerusi di Johor sekiranya parti itu tidak berdepan dengan pelbagai isu semasa dan politik seperti yang berlaku dalam PRU lepas,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Ditanya mengenai penyatuan parti-parti Melayu dalam PRN kali ini, Syed Agil yakin ia dapat meningkatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap imej dan reputasi senario politik di Johor.

“Namun suatu yang menarik pada PRN kali ini ialah kemunculan parti MUDA – Ikatan Demokratik Malaysia – yang akan memberikan alternatif kepada pengundi-pengundi muda untuk memilih dan mengundi calon-calon dari kalangan generasi muda yang akan bertanding di atas tiket parti itu.

“Ini merupakan satu cabaran buat semua parti-parti yang bertanding dalam PRN itu nanti,” katanya.

Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2022/01/22/bn-johor-yakin-peluang-besar-menang-prn/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button