Berita UtamaDunia

Tragedi pembunuhan Tantura: PA gesa tubuh suruhanjaya antarabangsa

Fakta dikabur Israel untuk kuburkan kebenaran jenayah

BAITULMAQDIS, 20 Jamadilakhir 1443H, Ahad – Pihak Berkuasa Palestin (PA) menggesa pembentukan sebuah suruhanjaya antarabangsa bagi menyiasat pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh negara pengganas Israel di perkampungan Tantura, Palestin pada tahun 1948.

Gesaan itu dibuat selepas akhbar harian Israel, Haaretz pada Khamis lepas melaporkan penemuan kubur besar di perkampungan Tantura, Palestin yang dibunuh oleh kumpulan Zionis pada 1948, ketika negara moden Israel dibentuk.

Rakyat Palestin berkata, beberapa pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin oleh kumpulan Zionis berlaku di perkampungan Palestin ketika perang 1948 dalam usaha untuk mengusir secara paksa sekurang-kurangnya 750,000 rakyat Palestin dari rumah dan tanah mereka.

Ia satu tragedi yang dirujuk rakyat Palestin sebagai Nakba atau malapetaka.

Kementerian Luar PA berkata, jenayah pendudukan tidak berhenti pada tahun 1948, tetapi masih berterusan dengan cara perkauman dan penuh kebencian, yang memerlukan penyiasatan ke atas jenayah ini dibuka.

“Apa yang diperlukan ialah kempen antarabangsa yang luas untuk membawa keadilan kepada mangsa Palestin dan menghukum pegawai dan institusi rasmi Israel yang terus menyembunyikan dan menutup keburukan jenayah serta pembunuhan beramai-ramai ini,” katanya.

Dalam laporannya, Haaretz berkata pegawai Israel ‘dari pertempuran 1948 di kampung Tantura (telah) akhirnya mengetahui mengenai pembunuhan beramai-ramai orang Arab yang berlaku selepas penyerahan kampung itu”.

Katanya lagi, dokumentari bertajuk Tantura akan disiarkan secara dalam talian minggu depan, dengan menyatakan bahawa testimoni askar Israel yang mengambil bahagian dalam pembunuhan beramai-ramai itu juga akan dipaparkan.

Haaretz berkata, kubur sekurang-kurangnya bagi 200 rakyat Palestin yang dikebumikan selepas hukuman mati mereka terletak di bawah tempat letak kereta Dor Beach.

Menurut ahli sejarah Palestin, pembunuhan beramai-ramai Tantura berlaku pada malam 22 hingga 23 Mei 1948.

PA mendakwa, fakta-fakta Nakba sentiasa ‘dikaburkan oleh kerajaan Israel berturut-turut untuk menguburkan kebenaran jenayah dan pembunuhan beramai-ramai kumpulan Zionis ini, mengetahui bahawa pemimpin yang bertanggungjawab melakukannya diberi jawatan tinggi dalam tentera pendudukan dan institusi rasmi Israel’. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button