Berita Utama

Warisan masih pertimbang bertanding PRN Johor: Mohd Shafie

Teliti banyak perkara sebelum putuskan untuk bertanding

KOTA KINABALU, 20 Jamadilakhir 1443H, Ahad – Parti Warisan Sabah (Warisan) ketika ini masih menimbang untuk menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, Warisan perlu meneliti banyak perkara sebelum memutuskan untuk bertanding antaranya kerjasama dengan rakan politik di Semenanjung seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) malah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor baharu sahaja diumumkan petang semalam.

“Saya sudah berhubung dengan Syed Saddiq (Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman), saya maklumkan kepadanya perlu ada persediaan sekiranya kita memutuskan untuk bertanding, walaupun kita ada penyokong di kawasan tertentu.

“Ramai orang Sabah, Sarawak di situ (Johor) namun kita tidak hanya bergantung kepada penduduk Sabah dan Sarawak. Kita akan lihat bagaimana keadaan di situ dan kita putuskan apabila tiba masanya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Warisan di Likas di sini malam tadi.

Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada PRN Johor, selepas baginda berkenan menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Mohd Shafie berkata, tindakan Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung tahun lepas adalah penting sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan berharap PRU15 berjalan serentak dengan PRN Johor.

“Selepas Melaka, Sarawak dan sekarang Johor dan mungkin negeri lain lagi, ini kerja yang sangat memenatkan. Sekiranya diadakan serentak dengan PRU lagi bagus dan menjimatkan,” katanya. – Bernama

Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2022/01/22/bn-johor-yakin-peluang-besar-menang-prn/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button