Berita Utama

Ada terima bantuan banjir lewat kerana proses pengesahan: PM

Arahan telah diberi agar proses bantuan disegerakan

BERA, 20 Jamadilakhir 1443H, Ahad – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menjelaskan kelewatan bantuan banjir khususnya yang melibatkan pembelian barangan elektik berjumlah RM500 dan bantuan RM2,500 untuk menggantikan barangan rosak, adalah disebabkan proses pengesahan bagi melayakkan mereka menerima bantuan berkenaan.

Walaupun berlaku sedikit kelewatan terutamanya yang melibatkan mangsa tidak berpindah, Ismail Sabri berkata beliau telah mengarahkan semua pihak menyegerakan proses pemberian bantuan itu supaya ia tidak lewat, sebagaimana pengalaman banjir sebelum ini, yang menyaksikan ada sesetengah bantuan mengambil masa sehingga enam bulan untuk sampai kepada penerima.

“Ada yang lewat kerana mereka perlu mendapatkan pengesahan daripada ‘tok ampat’(ketua kampung) atau pihak terlibat, memandangkan ada yang terkesan banjir namun rumah mereka berada di tingkat lima atau 10, menyebabkan barangan elektrik tidak rosak atau mungkin rumah dinaiki air sehingga paras buku lali sahaja.

“Kalau boleh, saya nak beri semua bantuan ini, tapi ini melibatkan wang kerajaan yang ada audit dan sebagainya, menyebabkan ada butiran yang diperlukan,” katanya semasa berucap pada Program Santunan Kasih Mangsa Banjir di perkarangan Masjid Kampung Guai di sini hari ini.

Pada program itu, Ismail Sabri menyampaikan bantuan keperluan rumah sumbangan Pejabat Parlimen Bera dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KBLB) kepada 80 wakil mangsa banjir dari Kampung Guai, Kampung Charuk Puting dan Kampung Batu Bor, semuanya dalam Daerah Bera.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata kerajaan komited membantu mangsa banjir secepat mungkin bagi meringankan beban kewangan mereka, termasuk berusaha menyegerakan pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 daripada Kerajaan Persekutuan.

Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berkuasa dan penduduk Daerah Bera yang pantas bertindak sejak awal bencana banjir bermula, membolehkan tiada kejadian lebih buruk berlaku, selain penyelarasan bantuan berjalan lancar.

“Kita sudah sokmo-sokmo (selalu) dilanda banjir menyebabkan kita semua sedia. Pusat pemindahan sementara (PPS) sudah dikenal pasti sejak awal dan pengurusan bencana sudah sedia dari bulan November. Ketua kampung juga terlatih dan mereka yang tinggal di tepi sungai sudah sedia dengan bot.

“Saya mohon maaf kerana banjir kali ini saya tidak dapat ke sini. Setiap tahun bila banjir, saya pasti sampai dengan menaiki bot, tapi banjir besar kali ini berlaku di banyak negeri dan saya perlu ke sana,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button