Berita Utama

Guru berpolitik: Wujud garis panduan elak kelas jadi medan ‘ceramah’

Pendidik perlu pamer sikap profesional ketika di sekolah

Oleh: Zuhayati Yazid

BANGI, 20 Jamadilakhir 1443H, Ahad – Golongan pendidik yang terlibat dalam dunia politik perlu mempamerkan nilai profesional, dalam menyeimbangkan antara tugas hakiki dengan aktiviti diceburi.

 

Langkah berkenaan wajar diberikan keutamaan supaya tugas hakiki seorang pendidik tidak tercicir berikutan terlalu memberi tumpuan kepada dunia politik.

Tokoh pendidikan, Prof Datuk Dr Mohamad Ali Hassan menegaskan, tiada halangan seseorang pendidik terlibat dalam politik berikutan golongan tersebut juga warganegara dan mempunyai suara serta kuasa untuk memilih.

“Namun penglibatan mereka perlu hadkan selain tahu kedudukan mereka sebagai penjawat awam.

“Golongan guru ini tidak boleh membawa urusan politik ke kawasan sekolah dan saya percaya guru yang profesional tidak sesekali mencampur aduk kedua-dua dalam satu masa.

“Sebab itu mereka perlu lupakan seketika hal politik apabila berada di dalam sekolah dan tidak mempengaruhi ideologi politik di dalam kawasan sekolah,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berpandangan, wujud keperluan mendesak bagi Kementerian Pendidikan (KPM) membentuk mekanisme khas dalam membuat pemantauan terhadap golongan ini supaya suasana kelas tidak berkecamuk.

“Sepatutnya tugas guru digunakan untuk mengajar kelas tetapi kita bimbang golongan ini mengambil kesempatan memberikan khutbah politik mereka sehingga boleh mempengaruhi minda sekali gus meracuni pemikiran anak-anak murid,” tegas beliau.

Prof Mohamad Ali menegaskan, keperluan tersebut perlu disegerakan supaya boleh dijadikan garis panduan dan dipatuhi.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan golongan guru dan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dibenarkan berpolitik berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan berkenaan dibuat bagi menghormati prinsip demokrasi, memandangkan sebelum ini mereka dilarang menyertai kegiatan politik.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button