Menteri wanita Islam pertama di Britain dipecat kerana keislamannya?
Whip kerajaan nafi tuduhan, anggap ia sebagai fitnah

LONDON, 20 Jamadilakhir 1443H, Ahad – Seorang penggubal undang-undang Britain mendakwa, dipecat daripada jawatan menteri dalam kerajaan Konservatif Perdana Menteri, Boris Johnson antaranya disebabkan kepercayaannya terhadap Islam mengundang ketidakselesaan dalam kalangan rakan sekerja, lapor Sunday Times.
Nusrat Ghani, 49, yang kehilangan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan pada Februari 2020 memberitahu akhbar itu bahawa beliau diberitahu oleh ‘whip’ – seorang penguat kuasa disiplin Parlimen – bahawa ‘keislamannya’ dibangkitkan dalam isu pemecatannya.
Tiada maklum balas segera kepada dakwaan beliau dari Pejabat Johnson, namun Ketua Whip Kerajaan, Mark Spencer mengakui beliau adalah individu di sebalik dakwaan Nusrat.
“Tuduhan ini palsu sama sekali dan saya menganggapnya sebagai fitnah. Saya tidak pernah menggunakan perkataan yang dikaitkan dengan saya,” katanya menerusi kenyataan di Twitter.
Kenyataan Nusrat dibuat selepas seorang rakan Konservatifnya berkata, beliau akan bertemu polis untuk membincangkan tuduhan bahawa whip kerajaan cuba memeras ugut Ahli Parlimen selepas disyaki memaksa Johnson melepaskan jawatan berikutan kemarahan orang ramai mengenai sekatan berkaitan COVID-19.
Skandal itu menghilangkan sokongan awam terhadap Johnson dan partinya, mengundang krisis paling serius dalam jawatan Perdana Menteri.
“Saya diberitahu bahawa pada mesyuarat rombakan di Downing Street, isu keislaman dibangkitkan, bahawa status saya sebagai menteri wanita Islam menyebabkan rakan sekerja tidak selesa.
“Saya tidak mahu berpura-pura bahawa ini tidak menggoyahkan kepercayaan saya terhadap parti dan adakalanya saya mempertimbangkan dengan serius sama ada untuk meneruskan tugas sebagai Ahli Parlimen,” kata Nusrat dipetik dari akhbar itu.
Nusrat adalah menteri wanita Islam pertama di Britain.
Dalam responnya, Spencer berkata, Nusrat enggan merujuk perkara itu kepada siasatan rasmi dalaman apabila beliau mula membangkitkan isu itu pada Mac lalu.
Parti Konservatif sebelum ini menghadapi tuduhan Islamophobia dan laporan pada Mei tahun lalu mengkritiknya berhubung cara mereka menangani aduan diskriminasi terhadap umat Islam.
Laporan itu juga menyebabkan Johnson mengeluarkan permohonan maaf atas sebarang kesalahan yang disebabkan oleh kenyataan terdahulunya mengenai Islam.
Sementara itu, pemimpin utama pembangkang dari parti Buruh, Keir Starmer berkata, Konservatif mesti menyiasat kenyataan Nusrat dengan segera.
“Ini mengejutkan untuk dibaca,” katanya di Twitter. – Agensi