Berita Utama

Pengundi di Johor meningkat 2.5 juta berbanding PRU14

Pertambahan berlaku selepas pendaftaran Undi 18 diwartakan

BANGI, 20 Jamadilakhir 1443H, Ahad – Jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus, dengan pertambahan sebanyak 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran Undi 18.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jumlah pengundi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor meningkat kepada kira-kira 2.5 juta pengundi berbanding 1.8 juta pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Peningkatan itu akan berlakunya pertambahan antara 20 hingga 30 peratus di kesemua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

“Kita sedia maklum mengenai perkara ini malah sudah bersedia untuk menghadapinya sebagai cabaran dalam kancah politik.

“Bahkan semua Ahli Parlimen sudah ditaklimatkan mengenai jumlah pengundi yang diwartakan,” katanya seperti dipetik Utusan Online, hari ini.

Pendaftaran pengundi Undi 18 termasuk pengundi pertama kali telah bermula sejak Disember lalu, dan diwartakan pada 16 Januari lalu.

Katanya, jumlah pengundi itu akan bertambah setelah pendaftaran pengundi Undi 18 diwartakan secara automatik dan akan dikemas kini setiap 16 hari bulan.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, pertambahan pengundi itu bukan sahaja menjadi ujian buat Barisan Nasional (BN).

Malah, turut menjadi cabaran kepada parti politik lain yang bertanding.

“Ini tidak seharusnya menjadi isu kerana kami juga bersetuju dan menyokong perkara ini di Dewan Rakyat.

“Jadi, lambat laun kita akan menghadapinya,” ujarnya.

Sebelum ini, Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi membolehkan had umur mengundi diturunkan daripada 21 tahun ke 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dilakukan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button