Berita Utama

PRN Johor bukan tamak kuasa, jaga kluster mahkamah

Ia usaha demokrasi bagi cari sebuah kerajaan kukuh

JOHOR BAHRU, 20 Jamadilakhir 1443H, Ahad – Keputusan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukanlah kerana tamakkan kuasa atau menjaga kluster mahkamah seperti didakwa sesetengah pemimpin politik.

Sebaliknya, Ketua Pemuda UMNO Johor Mohd Hairi Mad Shah berkata dengan mengadakan PRN, ia adalah satu usaha demokrasi yang diperlukan bagi mencari sebuah kerajaan kukuh untuk terus mentadbir negeri.

Beliau berkata mandat baharu daripada rakyat di negeri ini adalah satu keperluan berikutan kedudukan kerajaan negeri yang tidak stabil dan bergerak atas ‘ihsan pembangkang’.

Menurut beliau, realiti tersebut harus diterima semua pihak dan tidak sepatutnya berlaku di negeri yang memerlukan sebuah kerajaan stabil dan kuat demi memastikan perancangan di negeri selatan tanah air itu dapat dipergiatkan dan berjalan lancar.

“Contoh diberikan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor Datuk Hasni Mohammad semalam adalah satu daripada situasi menunjukkan dengan jelas kerajaan negeri berada dalam keadaan tidak stabil, iaitu insiden pembangkang Johor membawa rundingan Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) pada Sidang DUN (Dewan Undangan Negeri) Johor selepas Bajet Johor 2022 dibentangkan, November tahun lepas.

“Undian dilakukan menerusi rundingan itu membawa kepada keputusan seri 27 sama selepas undian di DUN dilakukan. Namun, Speaker DUN Suhaizan Kaiat memutuskan untuk berpihak kepada kerajaan menjadikan keputusan undian 28-27 bagi membolehkan kerajaan Johor tidak tergantung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hairi berkata pihaknya sedar rakyat kini masih terkesan dengan pandemik COVID-19 dan sesetengahnya sedang mengharungi situasi pascabanjir yang menyukarkan, namun sebagai sebuah parti politik, kesedaran untuk mendapatkan kerajaan stabil juga penting bagi memastikan segala bentuk bantuan dan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat dapat direncana dengan berkesan.

Semalam, Hasni yang juga Menteri Besar Johor berkata Barisan Nasional memerlukan mandat baharu daripada rakyat bagi meneruskan program-program rakyat memandangkan majoriti tipis telah menyebabkan kerajaan negeri berjalan berdasarkan ‘ihsan pembangkang’.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri semalam bagi memberi laluan untuk PRN diadakan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button