Berita UtamaDunia

Ratusan pengikut Hamas berdemonstrasi kutuk Israel di London

Pengusiran paksa di Sheikh Jarrah disifat pembersihan etnik

LONDON, 20 Jamadilakhir 1443H, Ahad – Ratusan pengikut kumpulan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) di United Kingdom (UK) menyatakan solidariti terhadap penduduk yang berdepan tindakan pengusiran di kejiranan Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis.

Kumpulan berkenaan yang terdiri daripada beberapa pertubuhan antaranya Forum Palestin di Britain (PFB), Sahabat of al-Aqsa (FOA), Persatuan Muslim di Britain (MAB), CND, Kempen Solidari Palestin, Gabungan Hentikan Perang dan beberapa lagi berkumpul di luar kedutaan Israel, di sini sebagai tanda protes terhadap tindakan kejam rejim Zionis sejak petang Jumaat.

Demonstrasi berkenaan dilakukan sejurus selepas negara haram Israel melakukan tindakan pengusiran paksa dan pencerobohan rumah keluarga Salhia di kejiranan Sheikh Jarrah, lewat malam, pada 18 Januari lalu.

Ratusan yang berhimpun sebagai tanda protes dan setiap wakil-wakil pengikut bergilir-gilir memberi ucapan mengutuk perbuatan rejim Zionis.

Wakil dari Gabungan Hentikan Perang, Shabbir Lakka ketika berucap berkata, pengusiran paksa di kawasan kejiranan tersebut adalah tindakan pembersihan etnik.

Beliau menjelaskan, tindakan pembersihan etnik berkenaan telah bermula sejak zaman British lagi dan diteruskan sehingga hari ini kerana kerajaan Amerika Syarikat (AS) ‘merestui’ serta menganggap tindakan tersebut tidak menyalahi undang-undang.

Sementara itu, seorang pegawai dari Kesatuan Pendidikan Kebangsaan (NEU), Louise Regan menerusi kenyataan memaklumkan, pengusiran paksa adalah tindakan yang menyedihkan apabila mangsa ditangkap dan rumah mereka diceroboh.

Beliau dalam masa sama memberi jaminan akan terus menekan AS dan meminta Israel menghentikan tindakan zalim mereka.

Manakala, Pengerusi Kempen Solidariti Palestin (PSC), Kamel Hawwash berkongsi kesedihan apabila ahli keluarga terdekat yang turut menjadi mangsa pengusiran di kawasan kejiran berkenaan.

“Seorang daripada mangsa yang menjadi pembersihan etnik tersebut adalah sepupu saya, malah anak lelaki kepada sepupu saya kini ditahan dan dimasukkan ke penjara tanpa dibicara,” katanya.

Beliau turut menyifatkan tindakan rejim Zionis sebagai perbuatan zalim yang mengerikan dan tidak berperikemanusiaan.

Biarpun dalam cuaca sejuk namun ia tidak menghalang pengikut kumpulan tersebut membuat demontrasi sebagai tanda mengutuk perbuatan berkenaan.

Malah penunjuk perasaan menyatakan sokongan kepada penduduk Sheikh Jarrah dengan jelas dan secara tegas memberi kecaman mereka terhadap perobohan serta keterlibatan AS sejak dari dahulu dan kini. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button