Berita UtamaDunia

17 kanak-kanak terbunuh di Yaman sejak Januari

Jumlah meningkat hampir 2 kali ganda berbanding Disember

KAHERAH, 21 Jamadilakhir 1443H, Isnin – Kira-kira 17 kanak-kanak terbunuh di Yaman bulan ini akibat pertempuran berterusan di negara yang dilanda perang itu, kata Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Pengarah wilayah UNICEF untuk Timur Tengah dan Afrika Utara, Ted Chaiban dalam satu kenyataan berkata, angka itu hampir dua kali ganda daripada jumlah keseluruhan pada Disember lalu.

Katanya, lebih 10,000 kanak-kanak cedera mahupun terbunuh di negara itu sejak 2014.

“Jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi,” katanya sambil menggesa pesaing Yaman yang berperang dan negara mempunyai pengaruh ke atas mereka untuk menghormati undang-undang antarabangsa dan melindungi orang awam, termasuk kanak-kanak, pada setiap masa.

Katanya, fasiliti awam termasuk kemudahan pendidikan serta perubatan tidak seharusnya menjadi sasaran dan perlu sentiasa dihormati.

Yaman dilanda keganasan dan ketidakstabilan sejak 2014, apabila Houthi – yang bersekutu dengan Iran – menawan sebahagian besar negara itu, termasuk Sanaa.

Konflik itu menyebabkan salah satu krisis kemanusiaan paling teruk di dunia, dengan hampir 80 peratus atau sekitar 30 juta orang memerlukan bantuan dan perlindungan kemanusiaan.

Menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 13 juta orang dalam bahaya kebuluran. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button