Berita Utama

Sikap ‘double standard’ punca Tanah Rizab Melayu gagal dipertahan?

PEMBELA syor wartakan kepada tanah wakaf elak jatuh ke tangan bukan Islam

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 21 Jamadilakhir 1443H, Isnin – Sikap ‘double standard’ kerajaan dipercayai menjadi punca kepada masalah pengurangan jumlah Tanah Rizab Melayu di negara ini.

Lantaran itu, pihak berkenaan yang menyebabkan banyak Tanah Rizab Melayu tergadai digesa bertanggungjawab sepenuhnya ke atas keadaan itu.

Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Ustaz Masridzi turut menggesa, pemimpin terbabit menggantikan semula tanah rizab berkenaan yang jumlahnya dilihat semakin mengecil.

Selain itu, beliau meminta budaya mengambil keuntungan cara mudah dengan mempertaruhkan harta warisan simpanan Melayu – yang sepatutnya dipertahankan – dihentikan, sebaliknya memberi peluang kepada bangsa Melayu memiliki tanah atau mengusahakan mana-mana tanah secara kolaborasi yang baik dengan pihak kerajaan.

“Kerajaan juga dicadangkan mewartakan Tanah Rizab Melayu kepada tanah wakaf yang berteraskan agama sebagai benteng dari jatuh ke tangan bangsa lain yang bukan Islam.

“Kerajaan juga dituntut menubuhkan Kementerian Tanah dan Hak Milik Peribumi di peringkat Persekutuan.

“Ia bagi menjaga, menyelia dan menguruskan isu Tanah Rizab Melayu bersama kerajaan negeri agar ianya dipertahankan seperti mana wasiat raja-raja Melayu sebelum kemerdekaan negara dahulu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Dalam pada itu, Ustaz Masridzi kesal dengan tindakan pihak berkuasa yang mengambil Tanah Rizab Melayu atas alasan pembangunan dan ekonomi, namun masih gagal menggantikan semula dengan tanah dalam kadar nilaian yang sama.

Lebih mengecewakan dakwanya, kebanyakan konsesi syarikat yang membangunkan Tanah Rizab Melayu diserahkan kepada pihak lain yang bukan peribumi akhirnya sedikit demi sedikit ia jatuh ke tangan orang lain sama ada disewa, dipajak, digadai atau dijual kepada tauke-tauke bangsa lain.

Tanpa memetik mana-mana pihak, beliau mendakwa, kebanyakan pemimpin yang menguruskan tanah lebih memberikan tumpuan kepada pelabur asing berbanding memberi peluang kepada rakyat peribumi Melayu yang ingin mengusahakannya.

“Mereka hanya fikirkan untung cara mudah dengan memiliki saham syarikat atau mendapat komisen dari tauke-tauke tanpa memikirkan jangka masa panjang anak bangsa dalam negara sendiri akan kehilangan tempat berteduh dan sumber pendapatan untuk kelangsungan hidup,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button