Dunia

Bangladesh rekod hampir 11,000 kes baharu COVID-19

Omicron mula dominasi kes virus, kini cecah 99 kes

DHAKA, 21 Jamadilakhir 1443H, Isnin – Bangladesh terus merekodkan peningkatan kes COVID-19 apabila hampir 11,000 jangkitan baharu dilaporkan pada Ahad, menurut Direktorat Perkhidmatan Kesihatan Awam.

Semalam, negara dengan populasi 165 juta penduduk itu mencatatkan 10,906 lagi kes jangkitan COVID-19 dan 14 kematian dalam tempoh 24 jam.

Setakat ini, Bangladesh merekodkan 1.65 juta kes dan lebih 28,200 kematian, menurut data rasmi.

Angka perkhidmatan kesihatan juga menunjukkan kes jangkitan COVID-19 meningkat kepada 63 peratus berbanding 50 peratus sepanjang minggu lalu.

Selain itu, 35 kes varian Omicron turut dilaporkan dalam tempoh 24 jam menjadikan keseluruhan kini meningkat kepada 99 kes.

Jurucakap Direktorat Perkhidmatan Kesihatan Awam, Nazmul Islam berkata, varian Omicron telah mula mendominasi kes virus di Bangladesh.

Katanya, 73 peratus pesakit dijangkiti Omicron mengalami hidung berair, sakit kepala (68 peratus), keletihan (64 peratus) dan batuk seperti influenza bermusim (44 peratus).

“Sekiranya kes terus meningkat, ia akan menyebabkan tekanan yang besar terhadap sistem kesihatan negara,” katanya yang turut menggesa orang ramai mematuhi garis panduan keselamatan kesihatan dan mendapatkan vaksin.

Sementara itu, Bahagian Kabinet memaklumkan bahawa semua pejabat kerajaan, badan berkanun dan swasta akan beroperasi pada kapasiti 50 peratus kakitangan selain menjalankan aktiviti secara atas talian.

Perintah baharu itu akan dilaksanakan bermula hari ini sehingga 6 Februari susulan peningkatan jangkitan COVID-19 di seluruh negara. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button