Berita UtamaDunia

Etnik Uyghur di Turki gesa boikot Sukan Olimpik Beijing

Negara Islam perlu sedar, China sedang lakukan genosid

ISTANBUL, 21 Jamadilakhir 1443H, Isnin – Puluhan etnik Islam Uyghur menggesa memboikot Sukan Olimpik Musim Sejuk bulan depan di Beijing susulan layanan China terhadap golongan minoriti itu.

Penunjuk perasaan berkumpul di luar bangunan Jawatankuasa Olimpik Turki di bandar itu, mengibarkan bendera biru-putih pergerakan kemerdekaan Turkestan Timur.

“China hentikan pembunuhan beramai-ramai, China tutup kem,” laung penunjuk perasaan malah ada yang mengangkat sepanduk bertulis ‘Hentikan Sukan Olimpik Genosid’.

“Dunia, negara Turki dan negara Islam perlu sedar. China sedang melakukan pembunuhan beramai-ramai sekarang.

“Mereka menipu orang. Kami mahu Sukan Olimpik ini diboikot secepat mungkin,” kata penunjuk perasaan, Abdurrahman Taymaz.

Pihak berkuasa China didakwa memudahkan kerja buruh paksa dengan menahan kira-kira sejuta orang Uyghur dan minoriti Islam yang lain di kem sejak 2016.

China pada mulanya menafikan kem itu wujud, namun sejak itu berkata, ia adalah pusat vokasional dan direka bagi memerangi ekstremisme.

Negara republik itu menafikan semua tuduhan penderaan.

Sukan Olimpik Beijing bermula pada 4 Februari.

Kira-kira 50,000 orang Uyghur dipercayai menetap di Turki, Diaspora Uyghur terbesar di luar Asia Tengah.

Bulan lalu, 19 etnik Uyghur memfailkan aduan jenayah dengan pendakwa raya Turki terhadap pegawai China, mendakwa mereka melakukan pembunuhan beramai-ramai, penyeksaan, rogol dan jenayah kemanusiaan.

Uyghur yang tinggal di Turki mengkritik pendekatan Ankara terhadap China.

Menteri Luar, Mevlut Cavusoglu berkata, bulan ini beliau menyampaikan ‘pandangan, jangkaan dan sensitiviti’ Turki mengenai Uyghur kepada rakan sejawatannya dari China ketika perbincangan di Beijing.

Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia menganggarkan lebih sejuta orang – terutamanya dari Uyghur dan minoriti Islam lain – ditahan dalam beberapa tahun kebelakangan ini di kem di Xinjiang. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button