Berita Utama

Guru, murid SK Assumption disuraikan ke sekolah berhampiran: KPM

Mohon tangguh pengosongan bangunan sekolah hingga tamat sesi Mac ini

BANGI, 21 Jamadilakhir 1443H, Isnin – Kementerian Pendidikan (KPM) membuat ketetapan untuk menyuraikan murid dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Assumption Seberang Perai Utara ke sekolah lain yang berhampiran.

KPM dalam kenyataan berkata, ketetapan itu dibuat memandangkan bangunan dan tapak sekolah berkenaan adalah milik Syarikat Sri Avenue Sdn Bhd.

Kementerian berkata, terdapat beberapa sekolah berdekatan yang dapat menampung murid dari SK Assumption iaitu SK Kuala Perai, Butterworth; SK Sungai Nyior; SK St Mark, Butterworth; SK Khir Johari, Perai dan SK St Mark, Perai.

“Ketetapan ini diambil berdasarkan justifikasi trend enrolmen murid yang menurun dari setahun ke setahun. 

“Pada masa ini, sekolah tersebut beroperasi dengan enrolmen murid seramai 53 orang,” kata kementerian.

Menurut KPM, penyuraian itu dapat meningkatkan kecekapan penggunaan sumber melalui agihan semula 15 orang guru dan dua Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) ke sekolah lain.

KPM merujuk kepada laporan media berhubung pengosongan tapak SK Assumption yang merupakan sekolah bantuan kerajaan yang beroperasi di bangunan serta tapak sekolah dimiliki oleh Syarikat Sri Avenue Sdn Bhd sejak 2008.

Pada 3 November 2021, syarikat terbabit memaklumkan bahawa telah menerima tawaran pembelian bangunan dan tapak sekolah daripada pihak ketiga.

Sehubungan itu, pihak syarikat memohon supaya KPM mengosongkan bangunan dan tapak sekolah tersebut secepat mungkin.

Mengambil kira sesi persekolahan yang sedang berlangsung, KPM telah memohon penangguhan pengosongan bangunan dan tapak sekolah sehingga tamat Sesi Persekolahan Penggal 3, 2021/2022 pada Mac ini.

“KPM akan membantu memudah cara urusan kemasukan murid ke sekolah baharu pilihan ibu bapa bagi Kalendar Akademik Sesi 2022/2023.

“KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button