Berita Utama

Lebih ramai bekas pemimpin DAP dijangka sertai Warisan P.Pinang

Susulan penyertaan 3 bekas pemimpin DAP dalam parti itu

GEORGE TOWN, 21 Jamadilakhir 1443H, Isnin – Lebih ramai bekas pemimpin DAP Pulau Pinang dijangka menyertai Parti Warisan (Warisan) susulan penyertaan tiga bekas pemimpin DAP dalam parti yang berpangkalan di Sabah itu.

Koordinator Warisan Pulau Pinang yang baru dilantik Jeff Ooi berkata penyertaan beliau dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lanchang Datuk Danny Law Heng Kiang dilihat sebagai perintis kepada lebih ramai lagi bekas pemimpin DAP untuk mengikut jejak mereka.

“Tetapi tumpuan kita bukan setakat untuk menerima bekas ahli DAP kerana Warisan Pulau Pinang mahu merentas semua pelosok landskap politik dan melihat penyertaan daripada tokoh korporat dan golongan profesional muda.

“Syarat daripada pucuk pimpinan adalah untuk melihat tidak kurang 50 peratus keahlian dan sokongan daripada golongan profesional muda,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ooi yang juga bekas Ahli Parlimen Jelutong hari ini turut mengumumkan kemasukan seorang lagi bekas pemimpin DAP iaitu Martin Lim, 53, dalam Warisan Pulau Pinang

Lim menyertai DAP pada 2009 dan pernah memegang jawatan sebagai Ketua Kakitangan Ibu Pejabat DAP Pulau Pinang manakala Law yang mengumumkan keluar parti itu pada 18 Jan lepas setelah menyertainya selama 35 tahun pernah menjadi ADUN Batu Lanchang.

Ditanya mengapa beliau memilih Wariasan, Ooi berkata beliau tertarik dengan konsep parti berbilang kaum dan agama, inklusif dan progresif yang diterapkan ke dalam parti tersebut.

Berkenaan hala tuju parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak, Ooi berkata parti Warisan Pulau Pinang akan berusaha keras untuk mencapai matlamat menubuhkan sebuah kerajaan pusat dengan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memainkan peranan penting dan kritikal. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button