Berita Utama

24 jam terbakar, 80 peratus blok bangunan The Andaman musnah

Pihak pengurusan resort diarah pindahkan tetamu ke hotel lain

LANGKAWI, 29 Jamadilawal 1442H, Rabu – Angin kencang serta struktur binaan kayu, telah menyebabkan kira-kira 80 peratus sebuah blok bangunan di resort lima bintang, The Andaman, a Luxury Collection Resort, di Jalan Teluk Datai, kira-kira 40 kilometer dari Bandar Kuah dekat sini, musnah dalam kebakaran yang berlaku dua kali, semalam dan awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi, Mohd Ashmar Mohd Mazlan berkata, kejadian pertama berlaku petang semalam di bahagian bumbung sebuah bangunan kelas B dan anggota dari BBP Langkawi dan BBP Persiaran Putra bersama Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) resort itu, berjaya memadamkan kira-kira 11.26 malam.

“Bomba menerima panggilan pada kira-kira 4 petang semalam, selepas berjaya memadam kebakaran, anggota bomba membuat pemadaman bara-bara api yang terbakar. Namun begitu, kira-kira 1.13 awal pagi tadi, bomba pihak resort tersebut sekali lagi memaklumkan berlaku kebakaran di bangunan yang sama, namun di lokasi berbeza.

“Anggota bomba dari BBP Langkawi dan BBP Persiaran Putra, sekali lagi digerakkan ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran. Kebakaran melibatkan bangunan yang memiliki tiga seksyen menempatkan pejabat pentadbiran, lobi utama dan dewan besar, serta sayap utara dan selatan yang merupakan bilik penginapan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Turut hadir Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Nor Hisham Mohammad dan Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari.

Mohd Ashmar yang bertindak sebagai komander operasi berkata, ketika kejadian terdapat tetamu yang menginap di resort tersebut dan pihaknya telah mengarahkan pihak pengurusan resort itu untuk memindahkan tetamu ke hotel lain.

“Angin kencang serta struktur binaan kayu resort tersebut menyukarkan proses pemadaman api. Ketika proses memadam kebakaran, empat petugas lelaki ERT resort yang membantu, turut mengalami sesak nafas dan muntah. Mereka telah dibawa ke Hospital Sultanah Maliha untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati sehingga berita ini ditulis, anggota bomba dari BBP Langkawi dan BBP Persiaran Putra masih giat menjalankan kerja-kerja pemadaman serta mengawal kebakaran. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button